Isnin, 5 Jun 2017

Perlis tetap terbaik - Rahman



ARKIB : 03/10/2005

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim masih menyifatkan Perlis sebagai pasukan yang lebih baik kelmarin biar-pun kalah 0-3 sekali gus terpaksa melepaskan Piala Malaysia berpindah ke tangan Selangor.

Menurutnya, Selangor hanya menang kerana mampu menyudahkan sebarang peluang yang menjelma sedangkan Perlis yang menguasai bahagian tengah dan kerap menyerang sepanjang 90 minit perebutan piala berprestij bola sepak negara itu.

``Selangor menyambar peluang dan mereka bersemangat dengan sokongan padu penonton dan situasi keseluruhan di stadium namun bagi saya, Perlis masih pasukan yang lebih handal dan lawan hanya menang piala ini atas `hadiah' kami.

``Selepas gol kedua, Selangor bertambah ghairah dan yakin pemain kami pula kian kecewa. Gol itu pun hasil kesilapan kami kerana tiada siapa yang mengekang Bambang,'' katanya selepas perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selangor merampas piala yang berusia 38 tahun itu daripada juara bertahan dengan jaringan hatrik Bambang pada minit ke-17, 51 dan 87 untuk melengkapkan koleksi `treble' mereka musim ini sesudah menjulang Piala FA, minggu lalu dan Piala Liga Perdana, Julai lalu.

Abdul Rahman turut kecewa melihat anak buahnya boleh terlupa dengan pergerakan penjaring hatrik dari Indonesia itu sedangkan mereka telah berlatih bagaimana untuk menyekat reka helah Selangor dalam penyudahan sepakan sudut.

``Malangnya, dalam permainan sebenar, tiada siapa yang mengekori Bambang dan apabila gol ketiga tiba, juga daripada kesilapan kami, semuanya sudah terlambat buat kami dan seperti antiklimaks,'' katanya.

Namun beliau mengakui, Gergasi Merah memang berhak merangkul Piala Malaysia buat kali ke-30 malah memuji sentuhan Bambang yang cukup tajam untuk melemahkan semangat juang selain mematahkan taring perjuangan Singa Utara.

Pujian beliau kagum dengan kekentalan dua benteng tengah lawan, Ahmad Tarmini Saiban dan Nazrulerwan Makmor yang berjaya mengekang Phillemon Chepita dan Zacharia Simukonda.

``Dua penyerang kami pula tidak cergas 100 peratus dan ada sedikit kecederaan. Mereka sukar menangani corak keras Nazrulerwan dan Tharmini. Itu sebabnya serangan kurang sengat tetapi kami tiada pilihan selain tetap menggunakan mereka,'' katanya.

Lebih menyulitkan Perlis bagi beliau kerana kedua-dua pemain sayap gagal menyokong dan mengumpan kepada penyerang.

``Kekuatan kami lengkap di mana-mana kecuali sayap. Dua penyekat di tengah, dua penyerang dan dua perantara pusat tetapi bukan empat pemain di bahagian tersebut yang hanya mampu bertahan,'' katanya dengan nada kecewa.

Di sebalik berkongsi kehampaan Perlis, Abdul Rahman masih melihat kejayaan dan kebangkitan Selangor itu sebagai petanda baik bagi kemajuan bola sepak negara selain mengembalikan sokongan penonton.

``Selangor bangkit bererti petanda baik bola sepak Malaysia kerana sukan ini perlukan Selangor kuat dan Perlis telah menguatkan mereka dengan `menghadiahkan' Piala Malaysia selepas Piala FA oleh Perak, minggu lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j75ltkXT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan