ARKIB : 21/09/2005
KANGAR - Perlis meraih sokongan
daripada peminat bola sepak Kedah untuk memberi sokongan kepada skuad Singa
Utara bagi mengimbangi ribuan penyokong Selangor pada perlawanan akhir di
Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1 Oktober ini, lapor METRA SYAHRIL MOHAMED.
Para peminat bola sepak di
negeri jiran itu yang menetap di Lembah Kelang juga diajak supaya `turun' ke
Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk memperkuatkan sokongan kepada Perlis.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim melahirkan rasa bimbang terhadap
kemungkinan para penyokong Perlis ditenggelami oleh penyokong fanatik Selangor
di stadium tersebut.
Beliau tidak menolak
kemungkinan ribuan pendatang dari Indonesia yang bekerja di Lembah Kelang akan
turut membanjiri Stadium Bukit Jalil bagi memberi sokongan padu kepada Selangor
terutama penyerang pasukan itu, Bambang Pamungkas.
``Kedudukan Stadium Bukit Jalil
memudahkan ramai penyokong Selangor datang memberikan sokongan kepada pasukan
itu tetapi ia tidak akan melemahkan semangat Perlis untuk berjuang
habis-habisan.
``Sehubungan itu kita sedang
membuat persiapan untuk menghantar seramai mungkin penyokong untuk memberi
sokongan moral kepada skuad Singa Utara pada perlawanan akhir nanti,'' katanya.
Perlis layak ke perlawanan
akhir selepas menewaskan Perak dengan agregat 3-1, Sabtu lalu manakala Selangor
menundukkan Terengganu dengan agregat 4-2 kelmarin.
Menurut Menteri Besar itu,
pihaknya yakin dapat mengumpul kira-kira 20,000 penyokong untuk memberi
sokongan moral kepada skuad Perlis dalam mempertahankan kejuaraannya.
Usaha itu, katanya, membabitkan
usaha mendapatkan sekurang-kurangnya 100 buah bas selain membuat tempahan tiket
kereta api.
``Persiapan awal dilakukan bagi
mengelak penyokong skuad bola sepak Perlis hampa jika tidak mendapat kenderaan
untuk membolehkan mereka ke Stadium Bukit Jalil kelak.
Dalam pada itu, Shahidan
meramalkan pasukannya dapat menundukkan Selangor dengan jumlah jaringan 3-0
sekali gus merangkul Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j2qIvG5X
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan