Ahad, 4 Jun 2017

Singa Utara bimbang `amukan' Merah Kuning



ARKIB : 21/09/2005
KANGAR - Perlis meraih sokongan daripada peminat bola sepak Kedah untuk memberi sokongan kepada skuad Singa Utara bagi mengimbangi ribuan penyokong Selangor pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1 Oktober ini, lapor METRA SYAHRIL MOHAMED.

Para peminat bola sepak di negeri jiran itu yang menetap di Lembah Kelang juga diajak supaya `turun' ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk memperkuatkan sokongan kepada Perlis.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim melahirkan rasa bimbang terhadap kemungkinan para penyokong Perlis ditenggelami oleh penyokong fanatik Selangor di stadium tersebut.

Beliau tidak menolak kemungkinan ribuan pendatang dari Indonesia yang bekerja di Lembah Kelang akan turut membanjiri Stadium Bukit Jalil bagi memberi sokongan padu kepada Selangor terutama penyerang pasukan itu, Bambang Pamungkas.

``Kedudukan Stadium Bukit Jalil memudahkan ramai penyokong Selangor datang memberikan sokongan kepada pasukan itu tetapi ia tidak akan melemahkan semangat Perlis untuk berjuang habis-habisan.

``Sehubungan itu kita sedang membuat persiapan untuk menghantar seramai mungkin penyokong untuk memberi sokongan moral kepada skuad Singa Utara pada perlawanan akhir nanti,'' katanya.

Perlis layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Perak dengan agregat 3-1, Sabtu lalu manakala Selangor menundukkan Terengganu dengan agregat 4-2 kelmarin.

Menurut Menteri Besar itu, pihaknya yakin dapat mengumpul kira-kira 20,000 penyokong untuk memberi sokongan moral kepada skuad Perlis dalam mempertahankan kejuaraannya.

Usaha itu, katanya, membabitkan usaha mendapatkan sekurang-kurangnya 100 buah bas selain membuat tempahan tiket kereta api.

``Persiapan awal dilakukan bagi mengelak penyokong skuad bola sepak Perlis hampa jika tidak mendapat kenderaan untuk membolehkan mereka ke Stadium Bukit Jalil kelak.

Dalam pada itu, Shahidan meramalkan pasukannya dapat menundukkan Selangor dengan jumlah jaringan 3-0 sekali gus merangkul Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j2qIvG5X
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan