Ahad, 4 Jun 2017

Yusri pegang rahsia Selangor



ARKIB : 27/09/2005
Oleh: YUSRI SAHAT

KANGAR - Penyerang berbisa Perlis, Yusri Che Lah tidak menganggap keupayaan Selangor menjulang Piala FA sebagai tekanan kepadanya dan rakan-rakan sepasukan, sebaliknya menambah semangat Singa Utara untuk mempertahankan kejuaraan apabila mereka bertemu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini.

Katanya, sebagai penyandang juara, Perlis tidak sesekali akan mengalah atau gentar dengan kehebatan yang dimiliki oleh barisan pemain Selangor yang rata-rata berstatus bintang dan mengalahkan Perak 4-2 dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu lepas.

Bagi bekas kapten Selangor pada tahun 2000-2001 itu, corak permainan Selangor dan strategi yang diamalkan oleh pasukan itu adalah biasa sahaja dan tidak akan menggugat kewibawaan Perlis.

Bagaimanapun, katanya Selangor memiliki kelebihan dari segi sokongan penyokong.

``Saya pernah bermain dengan pasukan Selangor dan kelebihan yang dimiliki pasukan itu turut dibantu oleh para penyokong yang memberi sokongan padu setiap kali mereka beraksi,'' katanya.

Selangor muncul sebagai juara Piala FA selepas menundukkan Perak 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.

Dua gol Bambang Pamungkas pada minit kelapan dan 87, Ellie Aiboy (43) dan Brian Fuentes (68) memastikan Selangor mendakap piala berprestij itu buat kali keempat selepas 1991, 1997 dan 2001.

Yusri mengakui perlawanan menentang Selangor dalam apa juga peringkat, mempunyai tarikan tersendiri berbanding dengan pasukan lain.

Apatah lagi, jelas beliau final Piala Malaysia edisi 2005 berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil yang terletak di Selangor.

Mengulas perlawanan akhir Piala FA, beliau memuji semangat juang kedua-dua pasukan yang mempamerkan corak permainan menghiburkan.

``Selain kehebatan pemain yang dimiliki, faktor bermain di gelanggang sendiri banyak membantu Selangor untuk menewaskan Perak,'' katanya.

Berbanding pasukan lain yang mempunyai saiz stadium yang lebih kecil, Selangor telah biasa beraksi di hadapan lebih 60,000 penonton di Stadium Shah Alam, katanya.

Dalam pada itu, Yusri yakin barisan pertahanan Perlis mampu mengekang kemaraan rangkaian tiga penyerang berbisa Selangor iaitu Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan dan Brian Fuentes pada perlawanan akhir nanti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j5AjKgUt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan