ARKIB : 28/09/2005
Oleh AMRAN MULUP
Pemain import Perlis, Phillimon
Chipeta tidak sabar untuk menggegar gawang Selangor dan cukup bersemangat
ketika sesi latihan di Kangar semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia
menentang Selangor, Sabtu ini. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.
PETALING JAYA - Seperti mana
rebahnya penyandang juara Piala FA, Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas,
begitulah nasib yang bakal dialami oleh Perlis.
Bukan omong kosong sebaliknya
menjadi keazaman tinggi buat juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor untuk
meleburkan impian Perlis daripada terus bergelar juara Piala Malaysia buat kali
kedua berturut-turut.
Biar apa sekalipun keyakinan
yang dilontarkan oleh skuad Singa Utara, ia sama sekali tidak menjejaskan
reputasi Selangor.
Sebaliknya, skuad Merah Kuning
tampak semakin yakin untuk merampas kejuaraan berprestij itu apabila bertemu
Perlis dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Kemenangan mudah menewaskan
Perak 4-2 untuk Selangor mendakap gelaran Piala FA membuktikan betapa barisan
pemain Merah Kuning dianggap paling ampuh dan cukup bersedia untuk menyekat
Perlis, kata pengurus pasukan, Datuk Satim Diman.
``Dari segi kemampuan, bagi
saya Selangor jelas lebih menyerlah berbanding Perlis kerana mereka hanya
bergantung kepada Philimon Chipeta dan Zachariah Simukonda.
``Sedangkan Selangor pula
selain ada Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes kita boleh menjaringkan gol
dengan ramai lagi pemain seperti Muhammad Khalid Jamlus, Elie Aiboy, D.
Surendran, Muhammad Shukor Adan dan K. Sanbagamaran,'' ujarnya.
Satim menyatakan demikian
ketika ditemui sejurus tamat latihan skuad Selangor di padang PKNS di Kelana
Jaya, semalam.
Barisan skuad bergelar juara
Piala FA Sabtu lepas itu kembali menjalani latihan untuk menghadapi Perlis
selepas berehat dua hari.
Faktor itu buat Satim adalah
kelebihan utama milik Selangor yang mampu menafikan hasrat Perlis untuk
mengekalkan gelaran yang disandang musim lalu.
Ujarnya, keupayaan tujuh pemain
mencipta jaringan sepanjang musim ini membuktikan kelebihan perlawanan akhir
Sabtu ini, milik Selangor.
Beliau tampak yakin pemain
Merah Kuning tidak dibelenggu sebarang tekanan kerana sudah beraksi dalam
perlawanan akhir Piala FA.
``Selangor akan menurunkan
kesebelasan yang sama ketika menewaskan Perak dan lebih menggembirakan tidak
ada seorang pemain utama ditimpa kecederaan,'' ujarnya.
Menurutnya, kejayaan menjulang
Piala FA jelas membakar semangat pemain Merah Kuning untuk memastikan kejuaraan
Piala Malaysia menjadi milik Selangor pula.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j5DItuFa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan