ARKIB : 19/09/2005
Penyerang Perlis, Zacharia
Simukonda (kanan) diasak oleh dua pemain Perak pada perlawanan separuh akhir
kedua Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam tadi yang menyaksikan
skuad Singa Utara menempah tiket ke perlawanan akhir dengan agregat 3-1.
KANGAR - Penyandang juara,
Perlis mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut
selepas menewaskan Perak 1-0 pada saingan separuh akhir kedua bola sepak Piala
Malaysia di Stadium Utama, semalam.
Gol tunggal jaringan Zachariah
Simukonda pada minit ke-35 sudah cukup memastikan kemaraan selesa Perlis pada
perlawanan akhir 1 Oktober ini dengan agregat 3-1.
Pada saingan separuh akhir
pertama Perlis menewaskan Perak 2-1 di Stadium Perak, Rabu lalu.
Pada perlawanan akhir di
Stadium Nasional Bukit Jalil, Perlis akan bertemu sama ada Selangor atau
Terengganu yang membuat perhitungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
malam ini.
Sejurus wisel penamat ditiup
oleh pengadil perlawanan, Stadium Utama yang dipenuhi kira-kira 30,000
penyokong tuan rumah bergegar dengan sorakan meraikan kejayaan Perlis.
Buat pemain mereka berpelukan
sesama sendiri termasuk jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim meraikan
kejayaan skuad Singa Utara.
Impian Perak berkecai sekalipun
segala usaha dilakukan oleh jentera serangan diterajui oleh Keita Mandjou,
Frank Seator dan Abdoulaye Traore.
Sebaik wisel ditiup,
kedua-kedua pasukan saling mengasak dalam usaha mendapatkan gol awal namun,
sebahagian besar permainan dikuasai sepenuhnya oleh Perlis.
Singa Utara yang mendapat
sokongan padu kira-kira 30,000 penyokongnya terlebih dahulu melakukan serangan
menerusi gerakan Yusri Che Lah, Phillimon Chipeta dan Zachariah Simukonda dalam
tempoh 10 minit babak perlawanan berlangsung.
Perak yang tercari-cari gol
semangat melakukan percubaan menerusi Wirat Nom namun rembatannya pada minit
ke-14 ditangkap kemas oleh Mohd. Amran Omar.
Serangan Perak hasil gandingan
R.Surendran dan Frank Seator sering tersekat oleh keampuhan kubu pertahanan
Perlis yang diterajui Joao Bandoch dan Muhammad Khaironnisam Shahbuddin.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j2UqBx2i
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan