ARKIB : 18/09/2005
Oleh YUSRI SAHAT
MENTERI Besar Perlis, Shahidan
Kassim memberi amanat kepada tonggak serangan, Phillimon Chipeta semasa skuad
Singa Utara menjalani latihan menjelang menentang Perak pada separuh akhir
kedua Piala Malaysia, malam ini. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.
KANGAR - Dalam tempoh tidak
sampai 24 jam lagi, Perlis semakin yakin mampu mencipta satu lagi sejarah untuk
mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut apabila menurunkan
barisan terkuatnya `melayan' Perak pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di
sini, malam ini.
Kelebihan bermain di tempat
sendiri dengan sokongan padu ribuan penyokong akan dimanipulasikan sepenuhnya
oleh Singa Utara untuk menggerunkan lawan.
Meskipun tanpa kelibat Adrien
Jurad Chamrong yang menjadi wira ketika Perlis bergelar juara musim lalu, ia
tidak akan menjejaskan rentak permainan.
Sebaliknya, pengganti Adrien
Jurad iaitu Mohd. Nazaruddin Mohd. Zain dilihat semakin mantap menggalas
tanggungjawab di bahagian tengah.
Mengulas persediaan Perlis,
pengurus pasukan, Adzmi Saad berkata, semangat dan komitmen kesebelasan pemain
berada pada tahap paling tinggi untuk berdepan apa juga cabaran yang bakal
dihadapi ketika menentang skuad Seladang itu.
Apa pun, beliau meminta
anak-anak buahnya supaya tidak terlalu yakin dengan bekalan 2-1 selepas
menewaskan pasukan Seladang di tempat lawan, Rabu lalu.
``Bola itu bulat dan semangat
lawan pada kali ini begitu membara akibat kekalahan di Ipoh pada perlawanan
pertama lalu,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi, semalam.
Beliau juga mengerahkan
anak-anak buahnya mencari gol awal untuk memberi lebih tekanan kepada Perak
yang tertekan akibat kekalahan di tempat sendiri sebelum ini.
Sementara itu, presiden
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yakin Perlis
mampu mencipta sejarahnya tersendiri pada pertemuan malam ini.
Ditanya ramalannya mengenai
perlawanan malam ini, kata Menteri Besar Perlis itu dengan penuh yakin:
``Perlis akan menang 3-0.''
Ramalan itu berdasarkan
pencapaian Perlis ketika menundukkan Perak 2-1 di tempat lawan pada pusingan
pertama.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j2Rll04V
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan