Sabtu, 3 Jun 2017

Perlis tertekan



ARKIB : 30/08/2005

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
Penyerang Perlis, Phillimon Chipeta (kiri) diasak oleh pemain Terengganu, Fabio Flor pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam semalam.Terengganu menang 2-1. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.
  
KANGAR - Sikap sambil lewa dan `syok sendiri' menjadi faktor utama kekalahan Perlis 1-2 kepada pasukan bukan pilihan, Terengganu pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia kelmarin.

Begitulah antara luahan kecewa Penolong Pengurus Perlis, Jamil Saad terhadap persembahan para pemainnya yang memandang mudah perlawanan tersebut.

Menurut beliau, kedua-dua faktor itu jelas dapat disaksikan terutama di bahagian serangan yang seolah-olah tidak wujud persefahaman di kalangan pemain.

``Ada pemain senior di bahagian lain yang beraksi sambil lewa dan perkara ini kita akan berikan perhatian serius,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan, semalam.

Pada perlawanan itu, Md. Norisham Hassan dan Sapian Wahid menjadi wira Terengganu apabila masing-masing meledakkan satu gol bagi memastikan Singa Utara tumbang buat kali kedua kepada pasukan Penyu itu sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini.

Perlis sebelum ini tewas kepada pasukan yang sama 0-1 ketika beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 24 Ogos lalu.

Kekalahan itu sekali lagi membantutkan peluang Perlis untuk mara ke suku akhir mengiringi Perak dan Pahang.

Mohd. Jamil menegaskan, sikap seumpama itu jika diteruskan dalam perlawanan akan datang bakal memusnahkan harapan Perlis untuk mara di peringkat seterusnya.

Apa pun jelasnya, kekalahan itu belum menutup peluang Perlis untuk mara ke peringkat suku akhir jika juara bertahan itu mencapai kemenangan ketika menentang PKNS esok.

``Saya berharap para pemain dapat mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku untuk sama-sama memastikan pasukan ini sekali lagi mampu mempertahankan gelaran juara,'' tambahnya.

Beliau turut memuji kesungguhan para pemain Terengganu yang beraksi cemerlang untuk membawa tiga mata berharga buat pasukan itu sekali gus menghampiri suku akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iveu8wUH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan