ARKIB : 06/10/2005
KANGAR - Durahim Jamaluddin,
Adrien Jurad Chamrong, Mohd. Khairi Zainuddin, Mohd. Irme Mat, Rosle Md. Derus
dan Somchat Narong merupakan antara pemain yang digugurkan daripada skuad Singa
Utara pada musim depan, lapor Metra Syahril Mohamed.
Difahamkan kebanyakan mereka
yang telah mendapat surat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA)
kini sedang mengatur strategi untuk memancing kelab-kelab lain bagi membolehkan
karier bola masing-masing tidak terkubur begitu sahaja.
Namun begitu, ada juga yang
berangan-angan untuk menamatkan karier sebagai pemain bola sepak pada usia yang
begitu muda bagi mencari sumber rezeki yang lebih terjamin seperti membuka
perniagaan sendiri dan sebagainya.
Sementara itu, pemain yang baru
dimasukkan ke dalam `keluarga' Singa Utara, Eddy Gapil @ Edwin pula dikatakan
telah diberi kata dua sama ada ingin meneruskan perjuangan bersama pasukan
tersebut dan meninggalkan kerjaya sebagai anggota polis.
Berlainan pula dengan nasib
Yusri Che Lah, Mohd. Feriza Ismail, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Mohamad
Kaironnisam Shahabudin Hussein (kapten) dan juga tiga tonggak pemain import,
Phillimon Chipeta, Zacharia Simukonda dan Joao Bandoch.
Mereka mungkin boleh menarik
nafas lega apabila menerima surat tawaran dan berkemungkinan akan menyambung
kontrak bersama Singa Utara bagi musim akan datang.
Sukan Utusan semalam melaporkan
PFA bertindak menggugurkan beberapa pemain yang difikirkan tidak menunjukkan
prestasi cemerlang sepanjang saingan merebut piala Liga Super dan Piala
Malaysia baru-baru ini.
Menurut pengurus Singa Utara,
Adzmi Saad berkata, tindakan tersebut dilakukan hasil perbincangan dengan
jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim serta beberapa pegawai pengurusan PFA.
Katanya, surat tersebut
diberikan awal bagi membolehkan setiap pemain mencari pasukan baru sebelum
akhir tahun ini.
Dalam pada itu, wira perlawanan
akhir Piala Malaysia 2004, Adrien Jurad ketika dihubungi Sukan Utusan
memberitahu, dirinya masih belum membuat sebarang keputusan untuk mencari dan
menyertai mana-mana pasukan.
``Buat masa ini, biarlah saya
berehat terlebih dahulu. Urusan mencari pasukan baru akan saya fikirkan selepas
ini. Jika tidak ada pasukan yang berminat, mungkin saya terpaksa mencari
pekerjaan lain,'' katanya.
Para pemain Singa Utara yang
beragama Islam termasuk pengurusan PFA berlepas ke Tanah Suci Mekah malam tadi
untuk mengerjakan umrah iaitu `hadiah' yang dijanjikan jika memenangi piala
Liga Super.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j784or00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan