Selasa, 30 Mei 2017

Chipeta bawa tuah Perlis



ARKIB : 12/06/2005
KUALA LUMPUR - Kehadiran semula pemenang kasut emas Liga Perdana 2003, Phillemon Chipeta membawa tuah apabila dia melakukan hatrik bagi membantu Perlis menewaskan MPPJ 4-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Utama, Kangar semalam.

Chipeta yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama Perlis tidak menghampakan apabila meledakkan jaringan seawal minit keenam, 63 dan 85 manakala gol keempat pula dijaringkan oleh Zachariah Simukonda pada minit ke-46.

Kemenangan berharga itu terus memperkukuhkan kedudukan skuad Singa Utara di tangga teratas liga dengan 32 mata dalam usaha memburu gelaran juara Liga Super musim ini.

Kehadiran Chipeta jelas memantapkan lagi jentera serangan Perlis selain kelibat Simukonda yang telah menjaringkan 12 gol setakat ini menambah gerun lawan berdepan dengan Perlis.

Seawal minit keenam Perlis menggegar jaring MPPJ hasil rembatan kencang Chipeta selepas mendapat hantaran daripada pemain kebangsaan, Mohd. Ivan Yusof.

Pada minit ke-46, giliran Simukonda menanduk kencang gol kedua Perlis hasil sepakan sudut Mohd. Ivan dan Chipeta menutup tirai jaringan menerusi dua gol lagi pada minit ke-63 dan 85.

Di Stadium Darul Makmur pula, Pahang berjaya memungut tiga mata penuh walaupun terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan Sabah 3-2.

Kejayaan Pahang terus memperkukuhkan kedudukan skuad Tok Gajah mengekori rapat Perlis yang turut mencapai kemenangan besar menewaskan MPPJ 4-0.

Pahang membuka tirai jaringan pertama menerusi pemain kebangsaan Mohd. Fadzly Saari yang merembat kencang menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Yusri Jamrin pada minit ke-19.

Bagaimanapun Sabah menyamakan kedudukan menerusi Joey Ryan Gundok pada minit ke-25 tetapi ketua pasukan Pahang, Hairuddin Omar menjaringkan gol kedua pada minit ke-72.

Sabah sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Julio Cesar Rodriguez dua minit selepas itu.

Gol kemenangan Pahang dijaringkan oleh Mohd. Zulkifli Mohd. Yusof pada minit ke-81.

Di Stadium Bandaraya, Marzuki Yusuf muncul wira apabila membawa pasukannya, Telekom Melaka meraih mata berharga setelah menewaskan Pulau Pinang 1-0.

Pasukan tuan rumah yang mendominasi permainan memperoleh lebih 10 peluang, namun dipersiakan dengan penyudah yang longgar sekali gus menuntut perubahan di barisan serangan pada perlawanan akan datang.

Pujian harus diberikan kepada pemain Telekom Melaka yang kebal bertahan, meskipun diasak dari setiap sudut oleh pemain Pulau Pinang yang mahu meraih mata berharga.

Ketika keputusan perlawanan seakan seri 0-0, bekas pemain Terengganu itu mengejutkan penyokong tuan rumah apabila sepakan percumanya menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sharifuddin Shahrill.

Pasukan tuan rumah yang menguasai sebahagian besar permainan babak pertama melepaskan sekurang-kurangnya tujuh peluang untuk menggegarkan gawang lawan.

Awal permainan, Viatcheslav Melnikov menghampakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah apabila sepakan leretnya ditepis keluar penjaga gol lawan, Zainal Rabin.

Kerancakan anak buah Norizan Bakar mengasak kubu Telekom Melaka sehingga memaksa lawan melakukan kesilapan apabila Zainal menjatuhkan M. Nagaraja dalam kotak penalti.

Namun, gol yang diharapkan bertukar menjadi kritikan penyokong apabila sepakan penalti Jose Marcio Barreto melambung tinggi melepasi palang.

Di Stadium Petaling Jaya pula, Perak mencerahkan peluang daripada tersingkir musim depan apabila mencapai kemenangan besar menewaskan Public Bank 4-0.

Dua penyerang import Perak, Keita Mandjou dan Frank Seator muncul hero membantu kemenangan bergaya skuad Seladang.

Mandjou menjaringkan dua gol pada minit ke-25 dan 78 manakala Seator pula meledakkan jaringan pada minit ke-80 dan 86.

Kemenangan itu mencerahkan harapan Perak untuk mengelak daripada terus menduduki tangga tercorot dan tersingkir ke Liga Perdana musim depan dengan baki lima perlawanan perlu dilalui.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4icfeaEiv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan