Khamis, 4 Mei 2017

Perlis tidak rela dipersenda

ARKIB : 07/12/2004
SELEPAS tiga hari Perlis menjulang Piala Malaysia, sudah mula kedengaran `suara-suara' yang cuba mempersendakan kejayaan skuad Singa Utara mencapai kejayaan tersebut.
Ada pihak menganggap faktor nasib merupakan penyumbang kepada kejayaan itu apabila gol tunggal yang membezakan status Perlis dan Kedah pada malam Sabtu lalu, merupakan `sumbangan' daripada skuad Kenari.
Sekiranya penjaga gol Kedah, Megat Amir Faisal tidak melakukan kesilapan mudah itu, mungkin sejarah yang terlakar pada malam tersebut berbeza sama sekali.
Bagaimanapun, `cakap-cakap' sedemikian dibantah keras Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menganggap faktor nasib bukan penyumbang kepada kemenangan Perlis.
Kemenangan itu tegas beliau, merupakan kerja keras para pemain yang tidak kenal penat untuk membawa pulang piala paling berprestij itu ke bumi Indera Kayangan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak terutama di luar negeri tersebut menerima hakikat bahawa Perlis sememangnya pasukan yang layak bergelar juara.
``Balingan Adrien Jurad Chamrong yang menghasilkan gol itu memang hebat. Ia bukan yang pertama dilakukan bahkan kali kedua selepas menewaskan Johor FC dalam satu perlawanan lain sebelum ini,'' jelasnya kepada Sukan Utusan ketika ditemui di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kangar semalam.
Adrien muncul wira Perlis apabila balingannya dari luar padang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Kedah, Megat Amir Faisal yang sekali gus menamatkan penantian selama 83 tahun pasukan Singa Utara untuk menjulang Piala Malaysia.
Shahidan berkata demikian sebagai menjawab `usikan' Senyum Kambing pada muka depan Utusan Malaysia yang antara lain dialognya berbunyi ``Perlis menang tanpa menjaringkan gol'' dan ``Elok lawan sekali lagi.'' Shahidan yang juga Menteri Besar Perlis bagaimanapun mengakui pasukan Kedah bermain dengan baik pada malam tersebut apabila lebih banyak mengawal permainan berbanding Perlis.
Namun, jelas beliau, kekentalan barisan pertahanan Perlis mengawal kubu sehingga mengagalkan percubaan-percubaan lawan, tidak boleh diperkecilkan.
``Adakah kekentalan barisan pertahanan Perlis menahan asakan-asakan lawan boleh dianggap sebagai nasib,'' katanya.
Dalam pada itu, katanya, Perlis bersedia mengadakan perlawanan `ulangan' dengan Kedah kerana sebelum ini kedua-dua pasukan memang banyak melakukan perlawanan persahabatan.
Sebelum perlawanan akhir lalu, menurut beliau, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak tiga kali dan kesemuanya dimenangi oleh Perlis.
``Kita (Perlis) tidak ada masalah untuk bermain sekali lagi di peringkat persahabatan dengan Kedah sebab kita adalah adik beradik,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan