Isnin, 29 Mei 2017

Singa Utara terus mengaum



ARKIB : 04/05/2005

PEMAIN Perlis, Zainuddin Ariffin (tengah) cuba melepasi kepungan dua pemain Pulau Pinang Ng Kok Heng (kiri) dan Zailani Jaafar pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Utama Kangar, semalam. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.

Kemenangan dengan tiga mata memperkukuhkan lagi kedudukan skuad Singa Utara mengungguli tangga teratas liga.

Penyerang lincah Perlis, Zachariah Simukonda sekali lagi menjadi pemusnah apabila dia bertindak cemerlang mencipta jaringan pertama disaksikan di hadapan kira-kira 15,000 penyokong tuan rumah.

Hasil daripada hantaran cantik Mohd. Lamin Conteh, Simukonda tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk melepaskan rembatan kencang menggegar jaring menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Azuan Othman.

Tersentak dengan gol awal itu Pulau Pinang yang diterajui penyerangnya Viatcheslav Melnikov cuba memburu gol penyamaan namun mendapati benteng Singa Utara terlalu ampuh.

Perlis menambah sengsara pelawat apabila Manzoor Azwira Abdul Hamid melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter untuk gol kedua.

Di minit-minit terakhir Pulau Pinang cuba merapatkan jurang tetapi segalanya tidak menjadi untuk membolehkan Perlis pulang dengan tiga mata berharga.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang sekali lagi berputeh mata apabila pasukan dari pantai timur itu tumpas kepada Public Bank 2-1.

Corak permainan pantas yang dipamerkan oleh pasukan pelawat membolehkan anak didik E. Elavarasan menguasai permainan dan sekali gus mengekang kemaraan barisan serangan Tok Gajah.

Pahang dikejutkan gol awal pelawat menerusi hasil sepakan silang, Ivan Zigar yang ditanduk masuk oleh rakan sepasukannya, Gustavo Andres Fuentes pada minit ke-35.

Namun, Pahang bernafas semula apabila mendapat sepakan penalti pada minit ke-41 yang disempurnakan oleh pemain import dari Cameroon, Bernard Samuel Tchoutang setelah dia dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Dalam aksi separuh masa kedua, Public Bank sekali lagi mendahului pasukan tuan rumah apabila tandukan Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-63 berjaya menumpaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Iqbal Suhaimi untuk gol kedua.

Setelah tumpas 5-1 ditangan Perlis pada Sabtu lalu, Pahang ternyata masih belum pulih daripada kekecewaan apabila percubaan demi percubaan berjaya dipatahkan oleh pasukan pelawat.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kebangkitan Sabah dalam dua perlawanan sebelum ini gagal diteruskan apabila sekadar pulang dengan keputusan seri 1-1 bertemu Telekom.

Kemenangan Sabah menewaskan Public Bank 3-1 minggu lalu tidak mampu diulangi walaupun membuka tirai jaringan awal mengejutkan pelawat.

Julio Cesar tidak mensia-siakan peluang apabila melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Telekom, Zainal Rabin pada minit ke-42.

Ketika Sabah seakan selesa dengan jaringan 1-0 tetapi kedudukan itu tidak dapat bertahan lama.

Pada minit ke-55, Telekom berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd. Munir Amran.

Di Stadium Petaling Jaya, bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila mudah menewaskan Perak 3-1.

Kemenangan milik MPPJ menambah sengsara Perak yang terus terhumban di tangga terbawah liga.

Ben Katanha meledakkan dua jaringan buat MPPJ pada minit ke-35 dan 56 manakala Asmawi Bakiri menyumbang satu gol lagi pada minit ke-45.

Bagaimanapun Perak berjaya merapatkan jurang dengan gol tunggal disumbangkan oleh penyerangnya Frank Seator pada minit ke-75.

SUMBRArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iSk0FjCZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan