ARKIB : 05/02/2005
Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR
KANGAR - Penyerang baru Singa Utara,
Mohd. Ivan Yusoff bertekad untuk membantu pasukannya menambah derita Sabah yang
tewas dua kali berturut-turut sebelum ini menjelang perlawanan ketiga Liga
Super antara Perlis dan Sabah di Stadium Utama Kangar, malam ini.
Bekas penyerang Kuala Lumpur
dan pemain kebangsaan dalam kejohanan Piala Tiger itu yakin dia kini semakin
serasi dengan corak permainan rakan sepasukannya, Zacharia Simukonda yang
setakat ini telah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan sebelum ini.
Pemain berusia 23 tahun ketika
ditemui Sukan Utusan di sini semalam berkata, walaupun Sabah tewas kepada Pulau
Pinang dan Pahang baru-baru ini, kekuatan pasukan itu bagaimanapun tidak boleh
dipertikaikan kerana mereka kini umpama `badak' yang terluka dan sudah pasti
berusaha mencari kemenangan pertama.
``Namun kelebihan memihak
kepada Perlis kerana kita bermain di tempat sendiri dan pemain Perlis juga
sudah pasti tidak mahu mengulangi kegagalan dalam perlawanan akhir Piala
Sumbangsih baru-baru ini apabila kita hanya seri 2-2 dengan Perak.
``Untuk itu, saya berharap
dapat membantu Perlis memperoleh tiga mata berharga malam esok (ini) untuk
memastikan peminat bola sepak Perlis gembira,'' katanya.
Mohd. Ivan yang kini menyewa
bersama beberapa pemain Perlis iaitu Khairi Zainuddin dan Es Lizuan Zahid di
Kangar sejak mewakili pasukan Singa Utara banyak membantu jentera serangan
Perlis dalam dua perlawanan awal walaupun belum menjaring sebarang gol.
Gerakan lincahnya walaupun
bertubuh kecil membantu Simukonda menghasilkan dua gol sewaktu mengikat Perak
dan gol kemenangan ketika Perlis menewaskan MPPJ Selangor 3-2 di Petaling Jaya,
Selasa lalu.
Ditanya mengenai hasratnya
untuk memecah kebuntuan mencari gol peribadi, Mohd. Ivan berkata, setiap
penyerang di mana-mana pasukan sudah tentu memasang impian untuk menjaringkan
gol dalam setiap perlawanan.
``Pemain mana yang tidak mahu
menghasilkan gol, begitu juga dengan saya. Tetapi, saya berharap penantian itu
akan berakhir tidak lama lagi.
``Bagaimanapun, perlu
diingatkan bahawa sesiapa yang menjaringkan gol itu tidak menjadi persoalan
kerana yang penting ialah kemenangan untuk pasukan dan setakat ini saya
berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana memberi kerjasama yang baik
walaupun saya masih baru dalam pasukan ini,'' jelasnya.
Mohd. Ivan diletakkan oleh
jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim di bahagian sayap kanan bagi membantu
seorang lagi penyerang lincah Perlis, Zainuddin Ariffin di sayap kiri serta
Simukonda dan Mohammad Lamin Conteh Al-Hidayah di bahagian serangan tengah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4gOZ5RQdH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan