ARKIB : 26/02/2005
Abdul Rahman Ibrahim (kanan)
berbual dengan Dioup Mamadau (tengah) sambil diperhatikan oleh Dario Ruben
ketika sesi latihan di Stadium Utama Kangar, semalam.
KANGAR - Peminat Singa Utara
pasti gembira kerana dua tonggak utama pasukan itu yang tidak pernah beraksi
dalam perlawanan Liga Super musim ini hampir pasti diturunkan untuk menentang
Public Bank Selangor di Stadium Utama Kangar, malam ini.
Penjaring gol tunggal
perlawanan akhir Piala Malaysia 2004, Adrien Jurad Chamrong dan pemain import
baru Perlis dari Senegal, Mamadou Dioup dijangka akan diturunkan oleh
jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim menentang skuad Bankers.
Kedua-dua pemain itu sebelum
ini dibelenggu masalah kecederaan dan tidak dapat diturunkan sejak Liga Super
2005 memulakan tirai pada 29 Januari lalu.
Jurad Chamrong cedera di
bahagian lutut sewaktu beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang MPPJ
Selangor sebelum liga bermula, manakala Dioup yang baru tiba di Kangar
menjelang pertemuan Perlis menentang Pahang baru-baru ini mengalami kecederaan
pada pangkal paha.
Perkara itu disahkan oleh
pengurus Perlis, Adzmi Saad yang memberitahu, tahap kecergasan kedua-dua pemain
itu dilaporkan semakin pulih dan mereka akan diuji dalam perlawanan malam ini.
``Ketika ini, Dioup sudah
mencapai tahap 90 peratus pulih daripada kecederaannya, begitu juga dengan
Jurad dan mereka mungkin dimasukkan sekurang-kurangnya untuk separuh masa
perlawanan.
``Kemasukan kedua-dua pemain
ini diharap dapat memperkemaskan lagi jentera pasukan Perlis yang sudah pasti
akan ditentang hebat oleh pasukan pelawat yang turut memiliki barisan pemain
yang bertenaga,'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Perlis kini mendahului carta
liga hasil empat kemenangan dan satu seri setelah memungut 13 mata, memintas
kedudukan Pulau Pinang yang berjaya ditewaskan 2-1 di Stadium Bandar Raya,
minggu lalu.
Public Bank yang muncul sebagai
naib juara Liga Super musim lalu pula kini menghuni tangga kedua terbawah liga
setelah hanya mencatat satu kemenangan dan empat kali tewas.
Skuad bimbingan E. Elavarasan
berkunjung ke Kangar untuk mencalarkan rekod tanpa kalah Singa Utara dengan
barisan pemain ternama seperti Ivan Ziga, Gustavo Fuentes, Nizaruddin Yusof,
Mohd. Fareed Shah Hassan dan Wong Sai Kong.
Menurut Azmi, pasukannya bagaimanapun
dinasihatkan supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan kerana
walaupun menduduki tangga kedua terbawah, Public Bank pasti bangkit.
``Pemain perlu ingat bahawa
pasukan lawan pasti datang dengan harapan menggunung untuk menang dan kita
perlu berwaspada supaya tidak kecundang di gelanggang sendiri,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iAWPtTIM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan