ARKIB : 30/04/2005
Oleh: YUSRI SAHAT
KANGAR - Ayam tambatan Perlis,
Zacharia Simukonda berazam mahu menebus kehampaan dengan meletakkan semula
pasukannya di persada liga dalam pertemuannya dengan Pahang di sini, malam ini.
Sambil menyifatkan pertemuan
dengan skuad Tok Gajah sebagai misi `merampas takhta', dia mahu rakan-rakan
sepasukannya turut bangkit daripada kedukaan selepas terkulai di Sabah, Selasa
lalu.
Pemain tinggi lampai berusia 26
tahun itu juga berjanji akan bekerja keras selain berusaha mengambil segala
peluang yang ada untuk mencipta gol apatah lagi ketika beraksi di hadapan
penyokong sendiri.
Kehadiran semula Yusri Che Lah
dan Adrien Jurad Chamrong yang berehat panjang akibat kecederaan bakal
mengembalikan semula `ngauman' Singa Utara di Stadium Utama sekali gus memberi
keyakinan kepadanya untuk beraksi cemerlang.
``Perlis akan mengulangi
kejayaan dengan merampas semula takhta liga sebagaimana sebelum berehat panjang
dulu,'' katanya kepada Sukan Utusan di sini, semalam.
Juara Piala Malaysia musim lalu
itu kini menduduki tangga kedua liga berikutan kekalahannya kepada Sabah 0-2 di
Kota Kinabalu, Selasa lalu manakala Pahang mencipta kemenangan besar 4-1 ke
atas Pulau Pinang.
Pemain yang berasal dari Zambia
itu juga sedar bahawa kehadiran Pahang ke bumi Perlis juga mempunyai satu misi
penting iaitu menebus semula kekalahan 0-1 yang dialami ketika di Kuantan pada
12 Februari lalu selain mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga.
Menurut Simukonda, sebarang kekalahan
pada pertemuan itu akan menyebabkan Perlis semakin jauh daripada perebutan
takhta liga pada musim ini.
Dia menyifatkan dirinya kini
berada pada tahap kecergasan yang maksimum untuk pertemuan malam ini selepas
menjaringkan lapan gol daripada sembilan perlawanan setakat ini.
Sementara itu, pengurus
pasukan, Adzmi Saad berkata, Perlis akan menurunkan pasukan terkuatnya pada
pertemuan malam ini walaupun tanpa kelibat Mohd. Feriza Ismail yang menerima
tiga kad kuning.
Beliau yakin Perlis boleh
mencipta kemenangan jika tidak ada faktor luaran seperti pengadilan yang berat
sebelah yang membantu kemenangan pihak lawan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iSOrFOAZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan