Ahad, 28 Mei 2017

Perlis yakin kekal di puncak liga



ARKIB : 24/04/2005

KANGAR - Juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis yakin dapat mengekalkan cengkaman sebagai pendahulu Liga Super dan mampu memperoleh kemenangan besar ke atas Sabah apabila kempen saingan liga itu disambung semula pada 26 April ini, lapor Metra Syahril Mohamed.

Selepas berehat hampir lima minggu bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan menghadapi Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi, skuad Singa Utara itu dilihat semakin bersemangat dan bersedia untuk meneruskan saingan.

Tiga pasukan - Perlis, Pulau Pinang dan Pahang masing-masing saling mencabar antara satu sama lain untuk menguasai tiga tempat teratas.

Pada masa ini, Perlis berada di takhta liga dengan memperoleh 20 mata diikuti rapat oleh Pulau Pinang dan Pahang.

Singa Utara akan bertemu dengan Sabah yang menduduki tangga ketujuh di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sebagai pendahulu liga yang akan berhadapan dengan pasukan dianggap `lemah', ini adalah peluang terbaik buat Perlis untuk menjarakkan diri dengan pasukan-pasukan lain.

Jurulatih Singa Utara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, selama `berbulan madu' hampir lima minggu ini, ia memberi peluang kepadanya untuk menilai segala kelemahan-kelemahan yang dilakukan oleh anak didiknya pada saingan terdahulu.

Katanya, untuk memastikan Perlis sentiasa berada di hadapan, latihan harian dimantapkan dan waktu bulan madu yang agak panjang tidak sedikitpun menjejaskan semangat pemain.

``Sepanjang waktu itu, saya mempunyai peranan yang agak mencabar dalam menaikkan semangat setiap pemain.

``Kita tahu bahawa pasukan lain juga sedang bersiap-sedia untuk mencantas kedudukan Perlis. Justeru itu, segala kelemahan sentiasa dikaji dan dinilai supaya barisan yang akan diturunkan nanti mampu mencatatkan kemenangan besar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Abdul Rahman, walaupun Sabah dilihat berada di tangga bawah, namun anak didiknya tidak memandang rendah kepada pasukan itu.

``Dalam masa lima minggu ini, apa-apa boleh dilakukan dan kita tidak boleh leka dengan segala pujian sebagai pendahulu liga serta memandang rendah kepada pemain lawan,'' tambahnya.

Perlis muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 83 tahun setelah menundukkan pasukan jiran, Kedah 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Disember lalu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iPmSclMC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan