ARKIB : 24/04/2005
KANGAR - Juara Piala Malaysia
musim lalu, Perlis yakin dapat mengekalkan cengkaman sebagai pendahulu Liga
Super dan mampu memperoleh kemenangan besar ke atas Sabah apabila kempen
saingan liga itu disambung semula pada 26 April ini, lapor Metra Syahril
Mohamed.
Selepas berehat hampir lima
minggu bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan menghadapi Sukan Perpaduan
Islam di Arab Saudi, skuad Singa Utara itu dilihat semakin bersemangat dan
bersedia untuk meneruskan saingan.
Tiga pasukan - Perlis, Pulau
Pinang dan Pahang masing-masing saling mencabar antara satu sama lain untuk
menguasai tiga tempat teratas.
Pada masa ini, Perlis berada di
takhta liga dengan memperoleh 20 mata diikuti rapat oleh Pulau Pinang dan
Pahang.
Singa Utara akan bertemu dengan
Sabah yang menduduki tangga ketujuh di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Sebagai pendahulu liga yang
akan berhadapan dengan pasukan dianggap `lemah', ini adalah peluang terbaik
buat Perlis untuk menjarakkan diri dengan pasukan-pasukan lain.
Jurulatih Singa Utara, Abdul
Rahman Ibrahim berkata, selama `berbulan madu' hampir lima minggu ini, ia
memberi peluang kepadanya untuk menilai segala kelemahan-kelemahan yang
dilakukan oleh anak didiknya pada saingan terdahulu.
Katanya, untuk memastikan
Perlis sentiasa berada di hadapan, latihan harian dimantapkan dan waktu bulan
madu yang agak panjang tidak sedikitpun menjejaskan semangat pemain.
``Sepanjang waktu itu, saya
mempunyai peranan yang agak mencabar dalam menaikkan semangat setiap pemain.
``Kita tahu bahawa pasukan lain
juga sedang bersiap-sedia untuk mencantas kedudukan Perlis. Justeru itu, segala
kelemahan sentiasa dikaji dan dinilai supaya barisan yang akan diturunkan nanti
mampu mencatatkan kemenangan besar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
di sini, semalam.
Menurut Abdul Rahman, walaupun
Sabah dilihat berada di tangga bawah, namun anak didiknya tidak memandang
rendah kepada pasukan itu.
``Dalam masa lima minggu ini,
apa-apa boleh dilakukan dan kita tidak boleh leka dengan segala pujian sebagai
pendahulu liga serta memandang rendah kepada pemain lawan,'' tambahnya.
Perlis muncul juara Piala
Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 83 tahun setelah menundukkan pasukan
jiran, Kedah 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional
Bukit Jalil, Disember lalu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iPmSclMC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan