Rabu, 31 Mei 2017

Perlis serius pertahan gelaran



ARKIB : 05/07/2005

Oleh YUSRI SAHAT

KANGAR - Selepas bergelar juara bola sepak Liga Super, Perlis kini meletakkan matlamat untuk mempertahankan gelaran selaku juara Piala Malaysia yang disandang pada musim lalu.

Berdasarkan persembahan cemerlang yang dipamerkan sepanjang musim ini, Perlis dilihat berkemampuan mencipta satu lagi sejarah untuk merangkul gelaran berganda.

Serentak itu, presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan para pemain supaya terus mencipta kemenangan terhadap dua lagi baki perlawanan yang bakal dihadapi.

Kemenangan ke atas Public Bank malam ini, katanya, adalah penting bagi menjaga status pasukan tersebut sebagai penyandang juara.

``Kita tidak mahu para pemain menganggap perlawanan esok (malam ini) hanya sebagai melengkapkan jadual pertandingan,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sabtu lalu, Perlis ditabalkan sebagai juara Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 dengan memungut 41 mata daripada 19 perlawanan.

Malam ini, Perlis bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya untuk menentang Public Bank yang kini menduduki tangga kelima daripada lapan pasukan.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Adzmi Saad turut yakin anak-anak buahnya dapat mengekalkan persembahan mereka apabila melangkah masuk ke Piala Malaysia nanti.

Beliau sedar kebanyakan pasukan yang bergelar juara di peringkat liga sering dilihat mengalami kemerosotan ketika berada dalam kancah Piala Malaysia.

``Kemerosotan dalam pada peringkat itu akan menggagalkan Perlis mempertahankan gelaran sebagai juara Piala Malaysia,'' tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mahu para pemain menumpukan perhatian kepada pertemuan dengan Public Bank yang kini sedang cuba mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana jika tewas malam ini.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak bahawa Perlis bakal diberi tentangan hebat oleh `The Bankers' yang dahagakan kemenangan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ihtIbdVy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan