Rabu, 31 Mei 2017

Perlis hanya perlu tiga mata



ARKIB : 27/06/2005

KUALA LUMPUR - Perlis hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005 sebelum saingan sebenar berakhir pada 9 Julai ini.

Perlis perlu menewaskan Pulau Pi-nang di Stadium Utama Negeri Sabtu ini untuk ditabalkan selaku juara baru lebih awal sekali gus menambah koleksi kejuaraan selepas menjulang Piala Malaysia musim lalu.

Dua lagi baki perlawanan buat Perlis selepas itu ialah bertemu Public Bank (5 Julai) dan Telekom (9 Julai).

Perlis kini memungut 38 mata iaitu kelebihan tujuh mata mengatasi saingan terdekat Pahang di tempat kedua. Pahang kekal di tangga kedua liga dengan 31 mata.

Jika skuad Singa Utara menang ke atas Pulau Pinang mereka akan mengumpul 41 mata sedang Pahang jika menang tiga baki perlawanan lagi sekadar meraih 40 mata.

Tiga kemenangan diraih Pahang tidak mampu menggugat kedudukan Perlis yang masih mempunyai baki dua perlawanan untuk diharungi.

Pahang pastinya pulang hampa selaku juara pertama musim lalu ketika peluang untuk mengekalkan gelaran terbuka luas tetapi gara-gara tewas 1-2 kepada Perlis di tempat lawan Sabtu lepas, melenyapkan segala impian tersebut.

Skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan pastinya hampa dua gelaran sudah terlepas daripada genggaman, pertama tersingkir awal di Piala FA dan kecewa pula untuk menjulang trofi Liga Super musim 2005.

Pahang sepatutnya memburu kemenangan ke atas Perlis tetapi di hadapan 17,000 penyokong tuah rumah, anak didik Abdul Rahman Ibrahim nyata unggul.

Tanpa kelibat Zachariah Simukonda dan Joao Bandoch yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama, tetapi Perlis tetap garang dengan dua jaringan menerusi dua pemain pertahanan, Mohd. Feriza Ismail dan ketua pasukan, Muhammad Khaironnisam Shahbudin memastikan kemenangan 2-1.

Menjelang pertemuan penting dengan Pulau Pinang Sabtu ini, Abdul Rahman pastinya akan mencongak strategi paling mantap untuk mengutip kemenangan bergelar juara.

Ketika Perlis sudah mampu mengukir senyum dengan baki tiga perlawanan perlu diharungi, persaingan dua tempat untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Super musim depan turut menjadi perhatian.

Sabah yang tewas 0-1 kepada Public Bank yang meletakan mereka di tangga terbawah liga dengan 21 mata, berada pada kedudukan paling getir berkemungkinan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Apa lagi jika tewas dalam tiga perlawanan selepas ini.

Nasib yang sama turut dihadapi oleh bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ yang berada di dua tangga tercorot dengan 21 mata, perlu mengutip tiga kemenangan untuk mengelak daripada tersingkir musim depan.

Nasib Pulau Pinang, Public Bank dan Perak dianggap belum selamat tidak terkecuali mengintai kemenangan penting daripada baki tiga perlawanan yang tinggal.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ifbVddN0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan