ARKIB : 27/06/2005
KUALA LUMPUR - Perlis hanya
memerlukan satu lagi kemenangan untuk dinobatkan selaku juara Liga Super musim
2005 sebelum saingan sebenar berakhir pada 9 Julai ini.
Perlis perlu menewaskan Pulau
Pi-nang di Stadium Utama Negeri Sabtu ini untuk ditabalkan selaku juara baru
lebih awal sekali gus menambah koleksi kejuaraan selepas menjulang Piala
Malaysia musim lalu.
Dua lagi baki perlawanan buat
Perlis selepas itu ialah bertemu Public Bank (5 Julai) dan Telekom (9 Julai).
Perlis kini memungut 38 mata
iaitu kelebihan tujuh mata mengatasi saingan terdekat Pahang di tempat kedua.
Pahang kekal di tangga kedua liga dengan 31 mata.
Jika skuad Singa Utara menang
ke atas Pulau Pinang mereka akan mengumpul 41 mata sedang Pahang jika menang
tiga baki perlawanan lagi sekadar meraih 40 mata.
Tiga kemenangan diraih Pahang
tidak mampu menggugat kedudukan Perlis yang masih mempunyai baki dua perlawanan
untuk diharungi.
Pahang pastinya pulang hampa
selaku juara pertama musim lalu ketika peluang untuk mengekalkan gelaran
terbuka luas tetapi gara-gara tewas 1-2 kepada Perlis di tempat lawan Sabtu
lepas, melenyapkan segala impian tersebut.
Skuad bimbingan jurulatih
Zainal Abidin Hassan pastinya hampa dua gelaran sudah terlepas daripada
genggaman, pertama tersingkir awal di Piala FA dan kecewa pula untuk menjulang
trofi Liga Super musim 2005.
Pahang sepatutnya memburu
kemenangan ke atas Perlis tetapi di hadapan 17,000 penyokong tuah rumah, anak
didik Abdul Rahman Ibrahim nyata unggul.
Tanpa kelibat Zachariah
Simukonda dan Joao Bandoch yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama,
tetapi Perlis tetap garang dengan dua jaringan menerusi dua pemain pertahanan,
Mohd. Feriza Ismail dan ketua pasukan, Muhammad Khaironnisam Shahbudin
memastikan kemenangan 2-1.
Menjelang pertemuan penting
dengan Pulau Pinang Sabtu ini, Abdul Rahman pastinya akan mencongak strategi
paling mantap untuk mengutip kemenangan bergelar juara.
Ketika Perlis sudah mampu
mengukir senyum dengan baki tiga perlawanan perlu diharungi, persaingan dua
tempat untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Super musim depan turut
menjadi perhatian.
Sabah yang tewas 0-1 kepada
Public Bank yang meletakan mereka di tangga terbawah liga dengan 21 mata,
berada pada kedudukan paling getir berkemungkinan tersingkir ke Liga Perdana
musim depan.
Apa lagi jika tewas dalam tiga
perlawanan selepas ini.
Nasib yang sama turut dihadapi
oleh bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ yang berada di dua tangga tercorot
dengan 21 mata, perlu mengutip tiga kemenangan untuk mengelak daripada
tersingkir musim depan.
Nasib Pulau Pinang, Public Bank
dan Perak dianggap belum selamat tidak terkecuali mengintai kemenangan penting
daripada baki tiga perlawanan yang tinggal.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ifbVddN0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan