ARKIB : 03/07/2005
Perlis juara Liga Super
Pemain Perlis termasuk
jurulatih Abdul Rahman Ibrahim (tiga dari kanan) bergembira meraikan kejayaan
skuad Singa Utara apabila dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005 selepas
menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama, Kangar, semalam.
PERLIS 1 P. PINANG 0
MPPJ 1 PERAK 5
SABAH 4 TELEKOM 1
PAHANG 0 PUBLIC BANK 0
KUALA LUMPUR - Perlis mencipta
sejarah apabila dinobatkan sebagai juara bola sepak Liga Super selepas
menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama di Kangar, semalam.
Kemenangan tersebut sekali gus
meletakkan penyandang juara Piala Malaysia itu sebagai pasukan kedua menjuarai
liga itu selepas Pahang pada musim lalu.
Gol kemenangan skuad Singa
Utara dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-40.
Kemenangan manis itu turut
disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin
Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Presiden
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).
Sejurus pengadil perlawanan
meniup wisel penamat, stadium Utama gamat dengan pekik sorak di kalangan 20,000
penyokong yang hadir selain kesebelasan utama Perlis berpelukan sesama sendiri
meraikan kejayaan manis menjulang Piala Liga Super.
Perlis yang kini memungut 41
mata dan kedudukan itu tidak mampu dicabar oleh pasukan lain walaupun skuad
Singa Utara masih mempunyai baki dua perlawanan perlu diharungi.
Mereka akan bertemu Public Bank
dan Telekom Melaka.
Piala Liga Super hanya akan
diserahkan kepada Perlis selepas perlawanan terakhir dengan Telekom Melaka di
Stadium Utama pada 9 Julai ini.
Di Stadium Darul Makmur, Pahang
gagal menggunakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar seri
0-0 bertemu Public Bank.
Kehadiran pemain import baru
Pahang dari Mesir, Khaled Ragab Abdelgany di bahagian tengah juga gagal
membantu untuk mengutip kemenangan.
Lebih menghampakan persembahan kedua-dua
pasukan jelas hambar selain tidak ada gerakan menarik dipamerkan.
Di Stadium Likas, jaringan
hatrik pemain import, Julio Cesar membantu Sabah bertindak garang apabila
membelasah Telekom 4-1.
Cesar membuka tirai jaringan
pertama pada minit ke-25 sebelum menambah gol kedua menerusi sepakan penalti
pada minit ke-45 dan gol ketiga menyusul pada minit ke-51.
Gol keempat tuan rumah
dijaringkan oleh Joey Ryan Gundok pada minit ke-75 manakala gol tunggal Telekom
pula menerusi Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-48 menerusi sepakan penalti.
Di Stadium Petaling Jaya, Perak
meneruskan aksi cemerlang untuk terus kekal berada di tangga ketiga selepas
membelasah MPPJ 5-1.
Penyerang import dari Liberia,
Fran Seator sekali lagi beraksi cemerlang apabila mencipta jaringan hatrik pada
minit ke-56, ke-64 dan ke-72.
Manakala dua gol lagi menerusi
Syamsol Saad (m-20) dan Ahmad Shahrul (m-54).
Gol tunggal MPPJ dijaringkan
oleh Ben Katanha pada minit ke-43.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ihlowPym
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan