Isnin, 29 Mei 2017

Peluang Perlis cerah


ARKIB : 14/05/2005
MOHD. IVAN YUSOF... gagal bantu Perlis kerana menjalani penggantungan.

KUALA LUMPUR - Lapan mata menjadi pemisah, meletakkan juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis berpeluang cerah untuk merangkul gelaran juara Liga Super musim 2005.

Empat perlawanan malam ini bakal menamatkan saingan pusingan kedua sebelum baki tujuh perlawanan lagi untuk menentukan pasukan mana bakal menjulang kejuaraan Liga Super musim ini.

Ketika ini Perlis memiliki kelebihan itu dengan lapan mata berbanding dua saingan terdekat, Pahang di tempat kedua dan Pulau Pinang di tempat ketiga.

Perlis perlu melebarkan cengkaman jika berhasrat mahu menjulang juara Liga Super musim ini lebih awal sebelum menamatkan saingan pada bulan September.

Malam ini, skuad Singa Utara akan berdepan dengan Telekom di Stadium Utama, yang pastinya kelebihan jelas memihak kepada tuan rumah untuk meraih tiga mata berharga.

Penyerang lincah, Zacharia Simukonda, Zainuddin Mohd. Ariffin dan Mohd. Lamin Conteh menjadi nadi Perlis mudah untuk mencipta kemenangan.

Tanpa pemain kebangsaan, Mohd. Ivan Yusof yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu Public Bank Ahad lalu, tidak menjejaskan rentak permainan skuad Perlis.

Namun, jurulatih Telekom, Irfan Bakti mempunyai percaturan tersendiri bagi mengelak Perlis mencapai kemenangan ke atas mereka.

Sambil itu, Pahang yang mengharungi prestasi tidak menentu ketika ini perlu menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila berdepan dengan pasukan yang menghadapi bahaya tersingkir ke Liga Perdana musim depan, Perak.

Tidak banyak pilihan buat anak didik jurulatih Zainal Abidin Hassan yang perlu mengutip tiga mata berharga jika berhasrat untuk mencabar kedudukan Perlis.

Keputusan seri 3-3 skuad Pahang ketika seri dengan Home United dari Singapura pada saingan Piala AFC, Rabu lalu menimbulkan persoalan kemampuan sebenar Pahang.

Sementara itu, Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada Public Bank di Stadium Bandaraya.

Pulau Pinang perlu menebus dua kekalahan berturut-turut 0-2 kepada Perlis dan minggu lalu dikejutkan pula oleh MPPJ yang menang 3-2.

Hanya kemenangan ke atas Public Bank malam ini bakal mengubat kecewaan Pulau Pinang agar dapat menghidupkan peluang mencabar skuad Singa Utara selaku pendahulu Liga Super.

Dalam pada itu, Sabah yang tewas 0-2 kepada Perak minggu lalu akan menanti kunjungan MPPJ di Stadium Likas malam ini.

Sabah yang mendapat sentuhan Julio Rodriguez selaku penjaring terbanyak Liga Super dengan 13 gol setakat ini, bakal menjadi nadi untuk menyekat MPPJ daripada pulang membawa tiga mata berharga.

Begitu juga dengan MPPJ, hanya kemenangan kedua berturut-turut ke atas Sabah akan dapat memperbaiki kedudukan juara Piala Malaysia 2003 itu agar tidak terjerumus di tangga terbawah liga yang kini dihuni oleh Perak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iU4Vehl0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan