ARKIB : 08/05/2005
Oleh Yusri Sahat
KANGAR - Perlis bertandang ke
Selayang malam ini dengan satu matlamat iaitu memadamkan rekod tanpa kalah
Public Bank ke atas pasukan Singa Utara itu sejak empat pertemuan lalu.
Sejak musim lalu, Perlis tidak
pernah menang apabila bertemu `The Bankers' walaupun di gelanggang sendiri,
apatah lagi di tempat lawan, sepanjang kancah saingan Liga Super.
Justeru, Public Bank dilihat
sebagai antara satu-satunya pasukan yang boleh mengganggu `kelancaran' Perlis
untuk menuju ke puncak kejuaraan liga pada musim ini.
Itulah tekad penyerang Singa
Utara, Mohd. Ivan Yusoff yang berazam untuk membuang `badi' kekalahan yang
sekian lama terlekat pada pasukannya setiap kali bertemu Public Bank.
Pertemuan kedua Mohd. Ivan
dengan Public Bank selepas menyarung jersi Singa Utara musim ini bakal
melakarkan kenangan manis jika Perlis mampu menjinakkan pasukan dari Lembah
Kelang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam ini .
``Pertemuan kali ini lebih unik
kerana bertujuan mencipta kemenangan pertama selepas kekalahan demi kekalahan
dialami ketika menentang Public Bank,'' katanya kepada Utusan Sukan ketika
dihubungi hari ini.
Pada musim lalu, Perlis tewas
dua kali kepada Public Bank iaitu 0-2 pada 25 April 2004 sebelum kalah sekali
lagi 2-4 pada 4 Ogos tahun yang sama.
Badi itu berulang kembali
apabila Perlis sekali lagi kecundang 0-1 dalam pusingan pertama Liga Super di
Kangar pada 26 Februari lalu.
Berdasarkan rekod yang
menyebelahi Public Bank itu, Mohd. Ivan menyeru rakan-rakannya terutama
gandingannya, Zacharia Simukonda supaya tidak leka dengan kemenangan-kemenangan
manis ketika menentang Pahang dan Pulau Pinang sebelum ini.
Sebaliknya, tegas beliau, semua
pemain perlu `menyingsingkan lengan' dan berjuang habis-habisan untuk menyekat
kemaraan Public Bank yang semakin konsisten sejak kebelakangan ini selepas
menewaskan Pahang baru-baru ini.
Kemenangan malam ini juga,
katanya, adalah penting dalam usaha Perlis menambahkan jurang pungutan mata
dengan saingannya terutama Pahang dan Pulau Pinang yang masing-masing menduduki
tempat kedua dan ketiga liga.
``Kita juga tidak boleh
memandang ringan keupayaan Public Bank yang kini berada di tangga keempat yang
berpeluang cerah memintas mana-mana pasukan di atasnya memandangkan perjalanan
saingan masih jauh,'' jelasnya.
Bekas pemain pasukan Kuala
Lumpur itu yakin Perlis mampu mencipta keajaiban di Stadium Selayang malam ini
jika Singa Utara mengekalkan corak permainan mantap sebagaimana yang dipamerkan
sebelum ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iTd7IYRW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan