Jumaat, 26 Mei 2017

Durahim balik kampung jumpa lawan



ARKIB : 05/03/2005

Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR

KANGAR - Kunjungannya ke Melaka hari ini bukan sekadar balik kampung, sebaliknya pemain pertahanan Perlis, Durahim Jamaluddin bakal berdepan tugas paling sukar iaitu menentang beberapa pemain yang pernah menjadi rakan sepasukannya sendiri menjelang pertemuan Telekom Melaka dan Perlis di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Pemain kelahiran Merlimau, Melaka berusia 24 tahun itu tidak rela pasukan yang diwakilinya musim ini kecundang di gelanggang lawan, apatah lagi selepas menerima kekalahan pertama kepada Public Bank 1-0 di Kangar, minggu lalu.

Beliau yang akan digandingkan dengan pemain import dari Brazil, Joao Bandoch di bahagian pertahanan berkata, pengalamannya beraksi selama lima musim bersama pasukan Melaka akan digunakan sepenuhnya untuk mengekang asakan lawan.

``Saya pernah beraksi dengan beberapa bekas pemain Melaka yang kini mewakili Telekom, antaranya Zainal Rabin (penjaga gol), Khairul Anuar Jamil (tengah) dan Arfandi Lokman (penyerang).

``Sudah tentu ia memberi sedikit kelebihan kerana saya sudah mengetahui selok belok corak permainan dan aksi mereka,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan semalam.

Bagi Durahim, walaupun beraksi menentang bekas rakan sepasukannya, ia tidak mendatangkan sebarang masalah malah pemain muda ini yakin akan dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada pasukan Perlis.

Katanya, beliau dan rakan-rakan di benteng pertahanan terpaksa lebih bekerja keras berikutan ketiadaan kapten mereka, Kaironnisam Shahabuddin Hussin yang digantung dua perlawanan.

Namun, kehadiran Bandoch yang akan menggalas posisi yang ditinggalkan oleh Kaironnisam menceriakan kembali skuad Perlis kerana pemain import dari Brazil itu pernah beraksi bersama Singa Utara musim lalu.

``Tekanan mungkin tidak kepada pasukan kami kerana pasukan lawan perlu bangkit di gelanggang sendiri selepas tewas kepada Pahang 3-0 minggu lalu.

``Walaupun kami akan beraksi di hadapan penyokong lawan, ia tidak memberi tekanan kerana semua pemain sudah sedar hasil kealpaan kami minggu lalu menyebabkan kami tewas kepada Public Bank,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iBLNw03U
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan