ARKIB : 20/02/2005
PEMAIN Pulau Pinang, Ng Kok
Heng (belakang) diasak keras pemain Perlis, Rafiz Abu Bakar dalam aksi Liga
Super di Stadium Bandaraya, semalam. Perlis menang 2-1.- Gambar SAZALI CHE DIN.
KUALA LUMPUR - Juara Piala
Malaysia, Perlis merampas kedudukan sebagai pendahulu Liga Super daripada Pulau
Pinang selepas meleburkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Kumbang itu 2-1 dalam
perlawanan di Stadium Bandaraya, semalam.
Pemain import, Zacharia Simukonda
muncul wira Perlis dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 selepas
kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Terdahulu, Pulau Pinang
mendahului menerusi Mohd. Faizal Esahar pada minit ke-66 sebelum Perlis
menyamakan kedudukan menerusi Ivan Yusof pada minit ke-78.
Kemenangan itu cukup manis buat
Perlis kerana berjaya menewaskan pasukan yang dibimbing bekas jurulatih mereka
sendiri, Norizan Bakar.
Terdahulu Pulau Pinang
mendahului dengan Mohd Faizal Esahar meletakkan Pulau Pinang di depan menerusi
tandukannya hasil hantaran lintang dari Tengku Hazman.
Skuad Pulau Mutiara pula
seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan banyak peluang
terhidang selepas itu dalam aksi yang hampir mencetuskan pergaduhan antara
pemain kedua-dua pasukan.
Ia bermula daripada sepakan
percuma yang dihadiahkan pengadil pada minit ke-78 yang menimbulkan rasa tidak
puas hati pemain tuan rumah dan juga dianggap detik kekalahan Pulau Pinang.
Sepakan percuma yang diambil
Simukonda gagal ditangkap kemas penjaga gol, Azuan Othman pantas direbut Ivan
Yusoff bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Perlawanan yang seakan berakhir
dengan keputusan seri berubah apabila Simukonda menjaringkan gol kemenangan
pasukan pelawat.
Dalam perlawanan di Stadium
Shah Alam, Pahang melonjak ke tangga ketiga liga selepas menang tipis 1-0 ke
atas Public Bank.
Gol tunggal perlawanan dan
kemenangan Pahang itu dijaringkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-40.
Kemenangan itu membolehkan
Pahang memungut sembilan mata, empat mata di belakang Perlis untuk memintas
Telekom Melaka yang jatuh di tangga keempat.
Telekom Melaka yang beraksi di
gelanggang sendiri iaitu Stadium Hang Jebat sekadar mampu seri 3-3 dengan Sabah
selepas dua kali bangkit daripada ketinggalan.
Pemain import Sabah, Julio
Cesar mencipta hatrik pada perlawanan itu dengan gol pada minit ke-30, 36 dan
68.
Tuan rumah yang ketinggalan 2-0
selepas 36 minit permainan berlangsung bangkit dengan gol pertama menerusi
tandukan Mohd. Badrul Azam seminit selepas itu.
Telekom Melaka kemudiannya
menyamakan kedudukan menerusi Koffi Edward seminit selepas babak kedua bermula.
Sabah kembali mendahului pada
minit ke-68 tetapi sekali lagi Telekom Melaka menafikan kelebihan itu dengan
gol penyamaan pada minit ke-85.
Mengekori rapat Telekom Melaka
ialah Perak di tangga kelima yang menang ke atas Majlis Perbandaran Petaling
Jaya (MPPJ) 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.
MPPJ bagaimanapun lebih dulu
mencemaskan 10,000 penyokong tuan rumah dengan gol pembukaan menerusi sepakan
percuma, Azrin Shah Zainal yang melencong sebelum terkena palang dan masuk ke
gawang pada minit ke-12.
Bagaimanapun Perak yang hanya
menurunkan dua pemain import, menyamakan kedudukan menerusi Kieta Mandjou pada
minit ke-23.
Gol kemenangan Perak dijaringkan
Chan Wing Hoong yang menanduk masuk bola pada minit ke-66 ketika MPPJ hanya
beraksi dengan 10 pemain.
Ini selepas ketua pasukan MPPJ,
Faizal Zainal dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-46 oleh pengadil dari
Kedah, Ahmad Khalidi Supian.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4hujXDbVt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan