Rabu, 31 Mei 2017

Perlis kian menghampiri kejuaraan



 
ARKIB : 26/06/2005
Ketua pasukan Perlis, Muhamad Khaironisam (tiga dari kanan) mengangkat tangan kearah penonton setelah berjaya menjaringkan gol Kemenangan Perlis setelah menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Utama Kangar, semalam.

KUALA LUMPUR - Perlis selangkah lagi untuk merangkul gelaran juara Liga Super musim 2005 selepas mencapai kemenangan bergaya menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Utama Negeri di Kangar, semalam.

Kemenangan tiga mata yang diraih Perlis sekalipun tidak menyenaraikan dua pemain utama, Zachariah Simukonda dan Joao Bandoch sudah cukup memastikan peluang cerah buat skuad Singa Utara untuk menambah gelaran selaku juara Liga Super musim ini.

Perlis kini hanya perlu mencapai kemenangan ke atas Pulau Pinang di gelanggang sendiri minggu depan bagi mengesahkan mahkota liga berada dalam gengaman.

Buat Pahang kekalahan tersebut terus meranapkan impian juara Liga Super musim lalu itu untuk mengekalkan gelaran yang disandang.

Di hadapan kira-kira 17,000 penonton, Perlis memukau kesebelasan terbaik Pahang apabila sepakan percuma pemain pertahanan Mohd. Feriza Ismail dari jarak 50 meter melantun melepasi jangkauan penjaga gol Pahang, Azmin Azram Abdul Aziz pada minit ke-60.

Begitupun Pahang tangkas menyamakan kedudukan menerusi penyerang terbaiknya, Indra Putra Mahayuddin dengan sepakan percuma lencong terus menerjah jaring bagi kedudukan terikat 1-1.

Gol kemenangan Perlis dijaringkan oleh ketua pasukan, Muhammad Khaironnissam Shahbudin pada minit ke-90 dengan rembatan kencang selepas menerima hantaran daripada Philimon Chipeta.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang terus kehilangan rentak apabila tewas lagi dan sekali lagi Perak merobek kegarangan anak didik Norizan Bakar apabila tewas 0-3.

Perak terus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super untuk mengutip tiga mata berharga sekalipun tidak berupaya menyaingi Perlis selaku pendahulu.

Gol pertama skuad Seladang dihasilkan menerusi pemain veteran, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-33.

Pulau Pinang terus merana apabila pemain import Perak, Keita Mandjou meledakkan dua jaringan pada minit ke-47 dan 52 bagi memahatkan kemenangan manis.

Di Stadium Hang Jebat, Telekom mengutip tiga mata berharga apabila menumpaskan juara Piala Malaysia musim 2004, MPPJ 3-1.

Jose Niadalize menjaringkan gol pertama Telekom pada minit ke-15 sebelum Henry Sunday menambah gol kedua pada minit ke-31 manakala gol ketiga pula menyusul menerusi Khairul Zal Azmi pada minit ke-58.

MPPJ yang ketinggalan 3-0 pada satu ketika merapatkan jurang dengan gol sagu hati dijaringkan oleh Ben Katanha empat minit sebelum perlawanan tamat.

Di Stadium Petaling Jaya pula, pemain kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof muncul hero apabila jaringan tunggalnya sudah cukup memastikan kemenangan buat Public Bank menewaskan Sabah 1-0.

Gol kemenangan Public Bank dijaringkan menerusi sepakan penalti seawal minit ketujuh dan disempurnakan dengan baik oleh Mohd. Nizaruddin.

Kemenangan itu mencerahkan peluang Public Bank bagi mengelakkan diri tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ifa3jtkg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan