Isnin, 29 Mei 2017

Simukonda sedia amuk Tok Gajah



ARKIB : 30/04/2005

Oleh: YUSRI SAHAT

KANGAR - Ayam tambatan Perlis, Zacharia Simukonda berazam mahu menebus kehampaan dengan meletakkan semula pasukannya di persada liga dalam pertemuannya dengan Pahang di sini, malam ini.

Sambil menyifatkan pertemuan dengan skuad Tok Gajah sebagai misi `merampas takhta', dia mahu rakan-rakan sepasukannya turut bangkit daripada kedukaan selepas terkulai di Sabah, Selasa lalu.

Pemain tinggi lampai berusia 26 tahun itu juga berjanji akan bekerja keras selain berusaha mengambil segala peluang yang ada untuk mencipta gol apatah lagi ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Kehadiran semula Yusri Che Lah dan Adrien Jurad Chamrong yang berehat panjang akibat kecederaan bakal mengembalikan semula `ngauman' Singa Utara di Stadium Utama sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk beraksi cemerlang.

``Perlis akan mengulangi kejayaan dengan merampas semula takhta liga sebagaimana sebelum berehat panjang dulu,'' katanya kepada Sukan Utusan di sini, semalam.

Juara Piala Malaysia musim lalu itu kini menduduki tangga kedua liga berikutan kekalahannya kepada Sabah 0-2 di Kota Kinabalu, Selasa lalu manakala Pahang mencipta kemenangan besar 4-1 ke atas Pulau Pinang.

Pemain yang berasal dari Zambia itu juga sedar bahawa kehadiran Pahang ke bumi Perlis juga mempunyai satu misi penting iaitu menebus semula kekalahan 0-1 yang dialami ketika di Kuantan pada 12 Februari lalu selain mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga.

Menurut Simukonda, sebarang kekalahan pada pertemuan itu akan menyebabkan Perlis semakin jauh daripada perebutan takhta liga pada musim ini.

Dia menyifatkan dirinya kini berada pada tahap kecergasan yang maksimum untuk pertemuan malam ini selepas menjaringkan lapan gol daripada sembilan perlawanan setakat ini.

Sementara itu, pengurus pasukan, Adzmi Saad berkata, Perlis akan menurunkan pasukan terkuatnya pada pertemuan malam ini walaupun tanpa kelibat Mohd. Feriza Ismail yang menerima tiga kad kuning.

Beliau yakin Perlis boleh mencipta kemenangan jika tidak ada faktor luaran seperti pengadilan yang berat sebelah yang membantu kemenangan pihak lawan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iSOrFOAZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan