ARKIB : 15/05/2005
TONGGAK Pahang, Bernard Samuil
Tchoutang (kiri) diasak oleh pemain Perak, Syamsul Mohd. Saad dalam saingan
Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Hujan lebat bagaimanapun
menyebabkan perlawanan itu ditunda dengan kedudukan Pahang mendahului Perak
2-1. - Gambar Ghazali Basri.
KUALA LUMPUR - Reputasi Perlis
sebagai pendahulu sedikit tercabar apabila gagal menyempurnakan peluang
mengukuhkan kedudukan di tempat sendiri apabila tewas mengejut 1-2 kepada
Telekom dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Utama Negeri di Kangar,
semalam.
Walaupun skuad Singa Utara
tumbang di gelanggang sendiri ia tidak merubah kedudukan pasukan itu yang masih
terus mendominasi teraju Liga Super dengan kekal 29 mata.
Petanda awal skuad Singa Utara
bakal rebah apabila seawal minit kelapan bekas pemain kebangsaan, Rusdi
Suparman meledakkan jaringan mengamamkan kesebelasan utama pemain tuan rumah.
Sebaliknya pelawat bertindak
cemerlang pada minit ke-12 apabila menggandakan jaringan menerusi Marzuki
Yusof.
Telekom bagaimanapun kehilangan
khidmat pemain tengah mereka, Tengku Hasbulah Raja Hassan yang terpaksa
dikejarkan ke hospital akibat patah tulang rusuk selepas berlaga dengan salah
seorang pemain Perlis pada minit ke-40.
Perlis mengambil kesempatan itu
untuk bangkit tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi Mohd. Lamin
Conteh Jr. pada minit ke-60.
Di Stadium Darul Makmur Kuantan
pula, perlawanan terpaksa ditangguhkan pada minit ke-72 akibat hujan ketika
tuan rumah, Pahang sedang mendahului Perak 2-1.
Penyerang import Pahang, Bernard
Tchoutang membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-21 dan menambah gol
kedua peribadinya pada minit ke-38.
Bagaimanapun di masa kecederaan
babak pertama hendak ditamatkan, Perak yang terhimpit berada di tangga tercorot
liga merapatkan jurang menerusi jaringan Shahrul Nizam Mustafa.
Di Stadium Bandaraya pula,
Pulau Pinang turut mengutip tiga mata berharga apabila menewaskan Public Bank
3-1.
Jose Marcio Barreto menyumbang
dua gol buat Pulau Pinang pada minit ke-17 dan 73 dan satu lagi gol dijaringkan
Viatchelav Melnikov pada minit ke-36.
Gol tunggal Public Bank pula
dijaringkan menerusi Choe Chee Weng pada minit ke-19.
Di Stadium Likas pula Sabah
bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 dengan MPPJ.
MPPJ mengejutkan penyokong tuan
rumah apabila memperoleh gol seawal minit ke-8 menerusi Bennewton Katanha yang
menolak mudah bola di depan gol.
Bagaimanapun Sabah menyamakan
kedudukan menerusi Julio Ceaser yang menyambut bola hasil sepakan percuma
Arshad Ayob pada minit ke-51.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iUBxIu74
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan