Selasa, 13 Disember 2016

Mohd. Zalmie digantung, denda RM2,000


 

ARKIB : 21/12/1999
MOHD. ZALMIE (dua dari kiri) berbual dengan warga tua ketika mengadakan lawatan pemain Persatuan Bola Sepak Perlis ke Rumah Sri Kenangan di Kangar. Dia dikenakan penggantungan 15 bulan oleh FAM selepas diuji positif dadah ketika beraksi dalam Liga Perdana baru-baru ini.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menjatuhkan hukuman penggantungan selama 15 bulan dan denda RM2,000 ke atas pemain Perlis, Mohd. Zalmie Jamlus yang diuji positif menggunakan dadah terlarang pada Piala Malaysia baru-baru ini.

Zalmie menjadi pemain pertama dikenakan hukuman keras itu setelah FAM memperkenalkan ujian dadah ke atas pemain pada musim Piala Malaysia tahun ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Paul Mony Samuel berkata, tindakan penggantungan dan denda itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM di Kelana Jaya, semalam.

Mesyuarat lembaga tatatertib itu dipengerusikan oleh Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman.

Zalmie, pemain pertahanan Perlis diuji positif menggunakan dadah terlarang ketika perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, 13 November lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu ditemani pegawai dari Persatuan Bola Sepak Perlis, Jalaluddin Kamaruddin sewaktu memberi keterangan dalam mesyuarat itu.

''Selepas penguraian panjang lebar, jawatankuasa disiplin mendapati bahawa pemain ini bersalah menggunakan dadah terlarang dan mengikut peraturan dan undang-undang persatuan, Zalmie digantung daripada beraksi selama 15 bulan daripada tarikh insiden dan didenda RM2,000,'' katanya.

Mesyuarat jawatankuasa tataterib itu semalam dihadiri empat lagi anggotanya - Datuk Dell Akhbar Khan, Datuk Mohd. Dahalan Sulaiman, Datuk Ramli Samjis dan Clement Soosay.

Menurut Paul Mony, Dr. Gucharan Singh, ahli jawatankuasa perubatan FAM juga hadir memberi penerangkan mengenai prosedur yang dilakukan.

''Ujian dadah dijalankan dalam tujuh perlawanan melibatkan 14 pasukan dan 28 pemain.

''Ujian dadah ini dibuat mengikut peraturan dan undang-undang FIFA dan FAM dijangka meneruskan ujian yang sama dalam Liga M musim depan,'' katanya.

Sementara itu, Jalaluddin ketika dihubungi berkata, berdasarkan ujian air kencing yang dibuat, Zalmie didapati menggunakan sebanyak 70 nanogram dadah jenis caraben sejenis ganja, jauh melebihi had 15 nanogram yang dibenarkan.

Mengenai keputusan jawatankuasa itu, Jalaluddin mengakui ia satu tindakan yang tepat dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah di kalangan pemain bola sepak negara.

''Ia satu keputusan yang adil dan tepat bagi mengelakkan pemain bola sepak menjauhi dadah,'' katanya.

Jalaluddin berkata, Zalmie menafikan dia mengambil dadah tetapi mendakwa ia mungkin diperoleh menerusi rokok yang diterima daripada seorang rakannya.

Zalmie, pemain skuad Olimpik telah menyertai Singa Utara itu sejak dua tahun lalu dan kontraknya tamat tahun ini
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SmyHrqxl

© Utusan Melayu (M) Bhd ARKIB : 20/12/1999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan