ARKIB : 22/01/2000
MASALAH ketandusan penyerang
yang dihadapi Perlis sejak beberapa musim lalu berakhir apabila dua bekas
penyerang kebangsaan, S. Paidiya Rao dan G. Shanmugan bersetuju menyarung jersi
Perlis.
Kedua-dua pemain itu adalah
antara 16 pemain yang telah disahkan penyertaan mereka untuk membawa cabaran
skuad "Singa Utara" itu pada kempen Liga Perdana akan datang, kata
penolong pengurus Abdul Jamil Saad, semalam.
"Kami lega kerana mereka
menjadi pelengkap pada barisan penyerang yang sebelum ini diperkuatkan oleh Hairil
Zamri Abd Rashid dan Samsurin Abd Rahman," katanya di Kangar semalam.
Paidiya dari Kuala Lumpur dan
Shanmugan (Pulau Pinang) telah mengikuti latihan pemilihan bersama 60 pemain
lain sejak 17 Januari lalu dan mereka adalah antara tiga pemain baru yang
dipilih. Seorang lagi ialah bekas penjaga gol Kedah, S. Ragesh.
Menurutnya Persatuan Bola Sepak
Perlis (PFA) turut menerima semula 13 pemain musim lalu ke dalam skuad.
Mereka ialah Mohd. Nazaruddin
Md Zain, M. Balan, Rozmin Musa, Muhamad Khaironnisam Sahabudin, Virak a/l Run,
Rosman Hussin, Ridzuan Abu Shah, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Rushamazi Hamid,
Suhairi Abdul Karim, V. Yogeswaran, Hairil Zamri Abd Rashid dan Samsurin Abdul
Rahman.
Abdul Jamil yang dipilih semula
sebagai penolong pengurus pasukan berkata, PFA akan mengenalpasti sembilan lagi
pemain untuk diserapkan pada skuad Singa Utara.
"Kami akan melihat potensi
pemain tempatan yang menyertai skuad Piala Emas Raja-Raja," katanya.
Perlis menjadi tuan rumah pada
perlawanan Zon A di Stadium Utama di sini pada 28 hingga 30 Januari ini. Tiga
lagi pasukan dalam zon itu ialah Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.
Sementara itu, PFA yang
bermesyuarat kelmarin mengekalkan Dr. Ashaari Mohamad selaku pengurus pasukan
manakala Tajuddin Noor sebagai jurulatih. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4StK1s65f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan