ARKIB : 24/02/2000
SHAHIDAN (tengah) bersama para
pegawai pengurusan serta pemain Liga Malaysia Perlis selepas majlis
menandatangani kontrak di Kangar, semalam.
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak
Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim menaruh keyakinan ngauman skuad Singa
Utara akan kembali menggerunkan musuh dalam persaingan Liga Malaysia musim ini
yang bermula April depan.
Beliau percaya pemain-pemain
muda yang dipilih mewakili Perlis mempunyai semangat juang yang lebih kental
memandangkan persaingan musim ini lebih mencabar apabila terpaksa berhadapan
dengan pasukan-pasukan elit dalam Perdana Satu.
Menurutnya, walaupun masih
berusia muda, tetapi pemain-pemain itu mempunyai potensi untuk meningkatkan
prestasi persembahan mereka di bawah jurulatih berpengalaman, Tajudin Nor.
Selain itu, katanya,
pemain-pemain terbabit juga diingatkan supaya lebih berdisiplin dan taat setia
kepada pasukan demi memastikan Perlis muncul sebagai pasukan yang disegani.
''Sasaran Perlis pada musim ini
sekurang-kurangnya merangkul satu piala daripada tiga piala yang
dipertandingkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap pada majlis menandatangani kontrak pemain-pemain Liga-M Tahun 2000
anjuran PFA di Kangar, malam semalam.
Pada majlis itu sebanyak 23
pemain termasuk beberapa pemain baru Perlis menandatangani kontrak tersebut.
Turut hadir pada majlis itu
ialah pengurus pasukan, Dr. Ashaari Mohamad dan jurulatih, Tajudin Nor.
Shahidan yang juga Menteri
Besar Perlis berkata, pemain-pemain yang menerima gaji daripada PFA itu
sepatutnya bermain bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan kepada
pasukan dalam setiap perlawanan.
''Mereka yang gagal bermain
bersungguh-sungguh dalam perlawanan tertentu boleh dianggap sebagai 'pemain
rasuah' apabila tahap permainan yang ditunjukkan tidak memadai dengan bayaran
gaji yang diterima,'' katanya.
Beliau juga mengharapkan
pemain-pemain Singa Utara dapat mempamerkan persembahan yang mantap sejak awal
musim bagi membangkitkan semangat mereka dalam mengharungi perlawanan-
perlawanan seterusnya pada Liga Malaysia itu.
Perlawanan pertama Perlis yang
dijadualkan ialah menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 15 April depan.
Oleh: ZAID MOHD. NOOR
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SxGiF7E6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan