ARKIB : 16/05/2003
TIDAK ada hadiah lebih berharga
bagi penjaring terbanyak Perlis, Phillemon Chipieta dalam pertemuan kedua
separuh akhir Piala FA menentang Sarawak di Stadium Kuching esok selain
membantu pasukannya layak buat kali pertama ke perlawanan akhir pada 31 Mei
ini.
Pemain berusia 22 tahun itu, yang
kini serasi bersama skuad Singa Utara mengakui kehadirannya dalam perlawanan
penting itu bukan sahaja untuk menambah jumlah jaringan malah membantu Perlis
mencipta sejarah.
Selepas menjalani penggantungan
selama dua perlawanan akibat dikenakan kad merah, Chipieta seumpama tidak
sabar-sabar lagi untuk turun ke padang dalam perlawanan esok yang dianggapnya
penting.
``Sejak dua perlawanan lalu saya
hanya menjadi penonton dan kini tiba masanya untuk saya membantu rakan
sepasukan untuk layak ke perlawanan akhir.
``Saya dan rakan lain sudah
berada dalam keadaan bersedia untuk mengekang asakan pasukan Sarawak,'' katanya
ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Chipieta yang mesra dipanggil
Ozzy akan berangkat bersama-sama rakan sepasukannya yang lain ke Kuching hari
ini bagi perlawanan kedua separuh akhir menentang skuad bimbingan Abdul Jalil
Rambli.
Dalam pertemuan pertama pada Ahad
lalu, Perlis berbekalkan jumlah jaringan yang selesa apabila menewaskan Sarawak
4-1 di Kangar. Gol-gol Singa Utara dijaringkan oleh ketua pasukan, Muhamad
Kaironnisam Shahabuddin Hussain, Kelvin Musungu, Che Zambil Ahmad dan Rosle Md.
Derus, manakala gol Sarawak dijaringkan oleh Robert Eshun.
Bekas pemain kebangsaan Zambia
itu kini telah menjaringkan sembilan gol, menyamai jumlah jaringan penyerang
import Johor FC, Jon Ben Anggeluci.
Dia dikenakan kad merah kerana
menahan bola dengan tangan dalam perlawanan pertama suku akhir menentang Johor
FC di Kangar pada 12 April lalu.
Sementara itu, pengurus pasukan
Perlis, Adzmi Saad berkata, kesemua pemain berada pada tahap memuaskan untuk
beraksi di gelanggang lawan bagi mengekalkan keputusan agregat seterusnya
membolehkan Perlis layak ke perlawanan akhir.
``Perlis seboleh-bolehnya mahu
mengekalkan jumlah agregat dalam pertemuan malam esok, bagaimanapun kita tidak
memandang rendah keupayaan pasukan lawan,'' katanya ketika dihubungi di Kangar,
semalam.
Pihaknya menghormati skuad Bumi
Kenyalang itu yang terkenal dengan semangat tidak mudah mengaku kalah biarpun
ketinggalan dengan jumlah jaringan yang banyak.
Menurut Adzmi, Sarawak mempunyai
beberapa pemain berbahaya seperti Eshun, Sapian Wahid dan Ramos Sari yang
seringkali mencemaskan pintu gol Perlis ketika berkunjung ke Kangar baru-baru
ini.
``Apa pun, Singa Utara akan cuba
mengaum di Kuching dan kemenangan malam esok adalah hadiah paling bermakna
kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang menyambut
keputeraan baginda ke-60 esok,'' ujar beliau.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cv5gy4Zf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan