ARKIB : 12/05/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
PEMAIN Perlis, Tengku Hazman Raja
Hassan dihalang pemain Sarawak, Irwandy Jampaka (no.2) dalam perlawanan separuh
akhir pertama Piala FA di Stadium Utama, Kangar, semalam. - Gambar ISMAIL
KAMADIN.
PERLIS melangkah sebelah kaki ke
peringkat akhir bola sepak Piala FA setelah menang selesa 4-1 ke atas Sarawak
dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Utama, Kangar semalam.
Jaringan pertama Perlis seawal
minit keempat menggamatkan kira-kira 12,000 penyokong Singa Utara yang hadir
apabila ketua pasukannya, Muhamad Kaironnisam Shahabuddin Husin merembat bola
hasil pergelutan di depan pintu gol.
Sarawak yang meletakkan sandaran
kepada penyerang berbisa mereka, Robert Eshun bagaimanapun menyamakan kedudukan
apabila dia membuat tandukan ke belakang sehingga mengelirukan penjaga gawang
Perlis, Amran Omar hasil umpanan Ramos Sari pada minit ke-15.
Gol kedua Perlis pada minit ke-26
kembali menceriakan Singa Utara apabila Kelvin Musungu menanduk bola hasil
tampanan penjaga gol Sarawak, Mohd. Firdaus Ishak.
Musungu sekali lagi bertindak
cemerlang apabila melakukan hantaran cantik daripada sebelah kiri pintu gol
Sarawak yang ditanduk kemas oleh Che Zambil Ahmad pada minit ke-41.
Sarawak seringkali mencemaskan
pintu gol Perlis menerusi asakan hebat Eshun namun kekebalan pertahanan dan
penjaga gol Perlis menidakkan usaha skuad Bumi Kenyalang untuk merapatkan
jurang gol.
Separuh masa kedua menyaksikan
Singa Utara terus mengasak ke pintu gol Sarawak. Usaha itu berhasil apabila
Rosle Md. Derus merembat cantik bola dari jarak kira-kira 25 meter untuk menjadikan
kedudukan 4-1.
Pasukan Singa Utara seperti tidak
berpuas hati dengan jumlah jaringan dan cuba melebarkan jumlah agregat menerusi
percubaan-percubaan yang nyaris menghasilkan gol.
Perlis turun tanpa penjaring gol
berbisa, Phillemon Chipieta dan Adrian Jurad Chamrong yang digantung dua
perlawanan tetapi kesempatan itu diambil oleh beberapa pemain Perlis yang lain
untuk menyerlah.
Selepas Musungu dikeluarkan pada
minit ke-71, jentera serangan Perlis seperti kehilangan penyudah untuk menambah
jaringan.
Sehingga permainan tamat, Sarawak
nyaris menambah gol pada masa kecederaan menerusi rembatan Bobby Pian tetapi
Amran berjaya menyelamatkannya.
Kemenangan selesa itu merupakan
hadiah berharga kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra yang bakal
menyambut keputeraan baginda ke-60 pada 17 Mei ini.
Baginda turut menyaksikan
perlawanan itu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cuzULlS3©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan