Jumaat, 31 Mac 2017

Perlis lega, Perak kecewa



ARKIB : 23/04/2003
PEMAIN Selangor, Shahrin Majid (tengah) diasak oleh dua pemain Sabah, K. Sanbagamaran (kiri) dan Jelius Ating dalam saingan bola sepak Perdana Satu di Stadium Shah Alam, semalam yang berkesudahan seri 1-1. - Gambar ASWAD YAHYA.

KEDUDUKAN pasukan tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu bertukar lagi dengan Perlis kembali di singgah sana selepas menang tipis 1-0 ke atas Telekom Melaka di Kangar, semalam.

Kedudukan Perlis itu dibantu dengan kekalahan pendahulu liga sebelum ini, Perak yang tumpas 2-1 kepada Pulau Pinang di Batu Kawan.

Perlis kini mengumpul 22 mata daripada 10 perlawanan, satu mata di depan Perak yang menghimpun 21 mata.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, gol kemenangan Perlis dijaringkan oleh Rosle Derus yang menyempurnakan gerakan Kelvin Musungu pada minit ke-50 untuk menumpaskan Telekom Melaka 1-0.

Rosle yang berada di sebelah kanan pintu gol Telekom Melaka hanya menolak masuk bola hantaran Musungu.

Bagaimanapun, aksi pada babak akhir menjadi tegang seketika apabila beberapa pemain kedua-dua pasukan menyerbu pengadil perlawanan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuatnya.

Di Stadium Negeri Batu Kawan, rekod tanpa kalah Perak akhirnya lebur apabila tunduk 2-1 kepada Pulau Pinang sekali gus menyerahkan takhta liga kepada Perlis.

Perlawanan di Batu Kawan turut disulami aksi ``keras'' kedua-dua pasukan yang menyaksikan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus dan kapten Pulau Pinang, Chee Wan Hoe dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Ahmad Khalidi Supian kerana bermain kasar.

Tuan rumah mendahului 2-0 menerusi jaringan Gustavo Alberto Romero pada minit ke-27 sebelum Wan Rohaimi Ismail menambah gol minit ke-47.

Gol tunggal Perak dijaringkan oleh Khalid pada minit ke-66 sebelum pemain itu dibuang padang.

Kedah mengekalkan tempat ketiga dengan 20 mata selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas pasukan terbawah, Terengganu di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Gol-gol Kedah dijaringkan oleh Matar Diop (penalti minit ke-13), Zainuddin Mohd. Ariffin (23) dan Mohd. Rizal Harunarsid (27).

Di Stadium Hang Tuah, gol jaringan Abdul Halim Jantan tiga minit sebelum tamat perlawanan menyelamatkan Melaka daripada terus ditimpa kekalahan apabila seri 1-1 dengan Pahang.

Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat pada minit kelapan menerusi pemain kebangsaan, Subri Sulong.

Melaka kekal di tangga kedua terbawah daripada 13 pasukan.

Juara Piala Malaysia, Selangor terus gagal mencari kemenangan apabila diikat 1-1 oleh Sabah di Stadium Shah Alam.

Sabah mendahului 1-0 menerusi jaringan Josiah Seton pada minit ke-53 sebelum Shahrin Majid menyamakan kedudukan minit ke-69.

Sementara itu dalam aksi Perdana Dua di Stadium Selayang, Public Bank membelasah TNB Kelantan 5-0.

Gol-gol Public Bank dijaringkan oleh Milan Strelec (17, 58), Md. Noor Derus (28), Ivan Ziga (35, 47).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ctrJVQfv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan