Jumaat, 31 Mac 2017

Perlis selesa ke Sarawak



ARKIB : 12/05/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
 
PEMAIN Perlis, Tengku Hazman Raja Hassan dihalang pemain Sarawak, Irwandy Jampaka (no.2) dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Utama, Kangar, semalam. - Gambar ISMAIL KAMADIN.

PERLIS melangkah sebelah kaki ke peringkat akhir bola sepak Piala FA setelah menang selesa 4-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Utama, Kangar semalam.

Jaringan pertama Perlis seawal minit keempat menggamatkan kira-kira 12,000 penyokong Singa Utara yang hadir apabila ketua pasukannya, Muhamad Kaironnisam Shahabuddin Husin merembat bola hasil pergelutan di depan pintu gol.

Sarawak yang meletakkan sandaran kepada penyerang berbisa mereka, Robert Eshun bagaimanapun menyamakan kedudukan apabila dia membuat tandukan ke belakang sehingga mengelirukan penjaga gawang Perlis, Amran Omar hasil umpanan Ramos Sari pada minit ke-15.

Gol kedua Perlis pada minit ke-26 kembali menceriakan Singa Utara apabila Kelvin Musungu menanduk bola hasil tampanan penjaga gol Sarawak, Mohd. Firdaus Ishak.

Musungu sekali lagi bertindak cemerlang apabila melakukan hantaran cantik daripada sebelah kiri pintu gol Sarawak yang ditanduk kemas oleh Che Zambil Ahmad pada minit ke-41.

Sarawak seringkali mencemaskan pintu gol Perlis menerusi asakan hebat Eshun namun kekebalan pertahanan dan penjaga gol Perlis menidakkan usaha skuad Bumi Kenyalang untuk merapatkan jurang gol.

Separuh masa kedua menyaksikan Singa Utara terus mengasak ke pintu gol Sarawak. Usaha itu berhasil apabila Rosle Md. Derus merembat cantik bola dari jarak kira-kira 25 meter untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Pasukan Singa Utara seperti tidak berpuas hati dengan jumlah jaringan dan cuba melebarkan jumlah agregat menerusi percubaan-percubaan yang nyaris menghasilkan gol.

Perlis turun tanpa penjaring gol berbisa, Phillemon Chipieta dan Adrian Jurad Chamrong yang digantung dua perlawanan tetapi kesempatan itu diambil oleh beberapa pemain Perlis yang lain untuk menyerlah.

Selepas Musungu dikeluarkan pada minit ke-71, jentera serangan Perlis seperti kehilangan penyudah untuk menambah jaringan.

Sehingga permainan tamat, Sarawak nyaris menambah gol pada masa kecederaan menerusi rembatan Bobby Pian tetapi Amran berjaya menyelamatkannya.

Kemenangan selesa itu merupakan hadiah berharga kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra yang bakal menyambut keputeraan baginda ke-60 pada 17 Mei ini.

Baginda turut menyaksikan perlawanan itu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cuzULlS3© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan