Rabu, 15 Mac 2017

Perlis belum mantap hadapi saingan



ARKIB : 15/02/2001
 JURULATIH Perlis, Tajudin Nor mengakui barisan pemain skuad Singa Utara masih belum mantap sepenuhnya ekoran terdapat beberapa kelemahan di posisi tertentu terutamanya jentera serangan bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Perdana Satu musim ini.

Sehubungan itu, beliau akan memberi perhatian untuk memperbaiki setiap kelemahan anak buahnya dalam siri latihan selepas ini bagi memastikan skuad Perlis benar-benar bersedia untuk bertempur di medan perang nanti.

Jelasnya, beliau akan memberi sedikit tumpuan di bahagian serangan memandangkan barisan penyerangnya masih gagal membuat penyudah dengan tepat walaupun mendapat peluang yang baik.

``Posisi tengah dan pertahanan juga tidak ketinggalan untuk ditingkatkan keutuhannya,'' katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Perdana Dua, Kedah di Stadium Utama Kangar, kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, Perlis menewaskan Kedah 2-0. Gol-gol Perlis disumbangkan oleh Rosmin Muda pada minit kelapan dan Badrul Afzan Razali pada minit ke-41.

Bagaimanapun Tajudin agak berpuas hati dengan peningkatan persefahaman antara pemain berbanding dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

``Selain kecergasan, persefahaman antara pemain juga penting untuk menentukan kemenangan sesebuah pasukan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau percaya prestasi sebenar anak buahnya akan terserlah menjelang persaingan Liga Perdana Satu berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka dalam perlawanan persahabatan tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bOz1rZxO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan