ARKIB : 15/02/2001
JURULATIH Perlis, Tajudin Nor
mengakui barisan pemain skuad Singa Utara masih belum mantap sepenuhnya ekoran
terdapat beberapa kelemahan di posisi tertentu terutamanya jentera serangan
bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Perdana Satu musim ini.
Sehubungan itu, beliau akan
memberi perhatian untuk memperbaiki setiap kelemahan anak buahnya dalam siri
latihan selepas ini bagi memastikan skuad Perlis benar-benar bersedia untuk
bertempur di medan perang nanti.
Jelasnya, beliau akan memberi
sedikit tumpuan di bahagian serangan memandangkan barisan penyerangnya masih
gagal membuat penyudah dengan tepat walaupun mendapat peluang yang baik.
``Posisi tengah dan pertahanan
juga tidak ketinggalan untuk ditingkatkan keutuhannya,'' katanya kepada
pemberita selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Perdana Dua,
Kedah di Stadium Utama Kangar, kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Perlis
menewaskan Kedah 2-0. Gol-gol Perlis disumbangkan oleh Rosmin Muda pada minit
kelapan dan Badrul Afzan Razali pada minit ke-41.
Bagaimanapun Tajudin agak berpuas
hati dengan peningkatan persefahaman antara pemain berbanding dua perlawanan
persahabatan sebelum ini.
``Selain kecergasan, persefahaman
antara pemain juga penting untuk menentukan kemenangan sesebuah pasukan,''
ujarnya.
Dalam pada itu, beliau percaya
prestasi sebenar anak buahnya akan terserlah menjelang persaingan Liga Perdana
Satu berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka dalam perlawanan
persahabatan tersebut.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bOz1rZxO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan