ARKIB : 02/04/2003
PERLIS kini semakin menghampiri
takhta liga apabila menewaskan juara Piala Malaysia 2002 Selangor 1-0 dalam
perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Utama, Kangar, semalam.
Jaringan Phillimon Chipeta pada
minit ke-70 memastikan Perlis memungut 16 mata untuk merampas kedudukan tangga
kedua daripada Pahang yang hanya mengumpul 14 mata selepas beraksi tujuh
perlawanan.
Bagaimanapun, Perlis mempunyai
peluang untuk merampas takhta liga daripada Perak kerana skuad Singa Utara
masih kurang satu perlawanan berbanding Seladang yang sudah bermain sebanyak
lapan kali.
Sebaik bermula babak pertama,
Singa Utara memulakan aksi garang menerusi percubaan Muhammad Kaironnisam
Shahabuddin Hussain pada minit- ke-7 tetapi tendangan kaki kiri selepas
mendapat hantaran Chipieta tersasar ke kanan pintu gol Selangor.
Selepas percubaan itu, kedua-dua
pasukan saling berbalas asakan namun masing-masing gagal untuk mencari gol
pendahuluan.
Pasukan bimbingan jurulatih
Norizan Bakar itu memperoleh beberapa peluang termasuk tandukan Chipieta pada
minit ke-37 yang terkena palang gol Selangor.
Selangor yang turun tanpa
penyerang utamanya, Nizaruddin Yusof kerana mengalami kecederaan sewaktu bertemu
Pilihan Singapura Sabtu lalu turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol
tetapi tandukan Mass Sarr Jr. pada minit ke-31 hasil sepakan percuma yang
diambil oleh Shahrin Majid tersasar.
Sebaliknya, gandingan Kelvin
Masungu dan Chipieta ternyata seringkali mencemaskan pintu gol Selangor dengan
beberapa percubaan merbahaya tetapi ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Azmin
Azram Abdul Aziz banyak menggagalkan usaha Perlis.
Pada separuh masa kedua, Perlis
menyusun lebih banyak serangan dan Azmin Azram masih berjaya menyelamatkan
pintu gol Merah Kuning.
Bagaimanapun, pada minit ke-70,
Perlis berjaya memecah kebuntuan apabila Chipieta menanduk gol hasil sepakan
percuma yang diambil oleh Adrien Jurad Chamrong untuk memberi kemenangan 1-0
kepada Perlis.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu,
hajat Terengganu untuk mencipta kemenangan kedua lebur apabila dibelasah 5-0
oleh tuan rumah Sabah.
Terengganu yang mengejutkan Pulau
Pinang menerusi kemenangan 2-1 dalam perlawanan Sabtu lalu jelas bukan
tandingan Sabah.
Sabah pula yang tewas 1-0 kepada
Perak seolah-olah bangkit menebus dendam dengan menjadikan Terengganu sebagai
mangsa untuk terus kekal di tangga tercorot.
Pasukan tuan rumah membuat
jaringan awal menerusi Robert Mark Gaspar pada minit ke-11 untuk memberi tekanan
kepada pelawat.
Perlawanan semalam turut
menyaksikan penyerang Sabah, Zainizam Marjan melakukan hatrik menerusi gol
minit ke-30, 76 dan 89. Gaspar juga menghasilkan satu lagi untuk Sabah pada
minit ke-36.
Pertemuan kedua-dua pasukan
tercemar apabila Pengurus Pasukan Sabah, Hairul Benjamin diarahkan oleh
pengadil M. Katheresen meninggalkan bangku simpanan pemain kerana mengganggu
perlawanan.
Katheresen bertindak demikian
berikutan Hairul dilihat memasuki padang setiap kali pasukannya berjaya menjaringkan
gol.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4coWZxT5P
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan