Isnin, 20 Mac 2017

Giliran Perlis jadi penghulu



ARKIB : 17/02/2002
PEMAIN Sabah, Burhan Ajui (kiri) hampir terjatuh apabila diasak oleh penyerang Kuala Lumpur, Liew Kim Tu pada perlawanan Perdana Satu di Cheras, semalam. Sabah menang 3-1. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.

PERLIS merampas kedudukan tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu daripada Johor FC selepas menang bergaya 2-0 ke atas NS Chempaka di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam. Kedudukan itu dibantu dengan kekalahan 1-0 Johor FC kepada Negeri Sembilan di Seremban.

Bintang import Perlis dari Brazil, Adalberto de Souza Sequira membuka jaringan setelah menyambar bola muntah pada minit ke-30.

Bekas pemain Selangor, Nazzab Hidzan memastikan Perlis mengutip mata penuh di gelanggang sendiri dengan gol kedua hasil sepakan percuma minit ke-53.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, jaringan tunggal menerusi tendangan voli K. Rajan pada minit ke-15 memastikan kemenangan pertama Negeri Sembilan menewaskan pendahulu, Johor FC 1-0.

Johor FC berpeluang menyamakan kedudukan apabila mendapat sepakan penalti pada minit ke-82 tetapi sepakan Henry Saimpon ditampan keluar oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Suffian Abdul Rahman.

Perak melonjak ke tangga kedua se-lepas menumpaskan Melaka 3-0 di Stadium Hang Tuah.

Khalid Jamlus terus menepati sasaran apabila menyumbangkan dua gol untuk Perak pada minit ke-11 dan 45 sebelum V. Saravanan menambah pada minit ke-77.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang meranapkan keghairahan Selangor untuk bangkit daripada kekecewaan selepas skuad Pulau Mutiara gagah menumbangkan Selangor 3-0.

Moey Kok Hong menceriakan pasukan tuan rumah dengan jaringan pendahuluan minit ke-38 dan digandakan oleh Hasmawi Hassan pada minit ke-41.

Zool Ihsan Yunos menambah derita Selangor dengan gol ketiga Pulau Pinang pada minit ke-69.

Kelantan mencatat kemenangan kedua liga selepas mengecewakan Pahang 2-1 di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu.

Pahang mengejutkan tuan rumah dengan gol pembukaan yang dijaringkan oleh Ahmad Shahruddin Rosdi tetapi pemain import Kelantan dari Thailand, Woorrawoot Srimaka menyamakan kedudukan minit ke-32.

Mohd. Hardi Ahmad memastikan kemenangan Kelantan dengan jaringan minit ke-53.

Di Stadium Sarawak, pasukan tuan rumah yang menduduki tangga terbawah liga, mencatat kemenangan sulung dalam kempen ini apabila menewaskan Terengganu 2-1.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama dengan pasukan pelawat lebih dulu membuka jaringan menerusi Mohamad Mazuki Yusof pada minit ke-22.

Bagaimanapun, pemain import Sarawak dari Australia, P.J. Robert menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat babak pertama.

Rizal Awang Jad sekali lagi menjadi wira Sarawak apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61.

Sabah turut memastikan tiga mata kemenangan selepas menumbangkan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium KLFA, Cheras.

K. Sanbagamaran meletakkan Sabah di depan pada minit ke-40 tetapi pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Farid Dewan minit ke-55.

Bagaimanapun, Sabah mendapat dua lagi gol menerusi Zainizam Marjan (66) dan Josiah Seton (81).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bwNKVIvM© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan