Selasa, 28 Mac 2017

Kejutan skuad Singa Utara

ARKIB : 16/02/2003
PERLIS membuat kejutan awal apabila mencapai kemenangan pertama dalam saingan bola sepak Perdana Satu dengan berpesta gol 4-0 ke atas Terengganu di Stadium Utama, Kangar semalam.

Pemain import skuad ``Singa Utara'' Phillimon Chipeta mencipta hatrik menerusi jaringan minit ke-5, 46 dan 69 sebelum Suhairi Abdul Karim menambah derita Terengganu pada minit ke-62.

Kejutan juga berlaku di Stadium Hang Tuah, Melaka apabila juara Sumbangsih 2003, Pulau Pinang tewas 1-0 kepada Melaka.

Mohd. Sufian Shamsu Bahari menjadi wira Melaka apabila bola hasil hantaran Halim Jantan dirembat masuk ke gawang Pulau Pinang untuk memberikan tiga mata penuh skuad ``Kancil'' di gelanggang sendiri.

Malang buat Pulau Pinang kerana gagal membawa pulang mata selepas menguasai permainan semalam.

Sementara, juara Perdana Satu musim lalu, Perak sekadar seri 1-1 dengan pasukan bertaraf kelab, Telekom Malaysia (Melaka).

Walaupun Khalid Jamlus menghasilkan sepakan penalti pada minit ke-61, Telekom Malaysia (Melaka) berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Farid Dewan pada minit ke-80.

Bagaimanapun, sebuah lagi pasukan bertaraf kelab, Johor FC tewas 2-0 kepada Kedah dalam perlawanan di Stadium Darulaman, Alor Star, semalam.

Gol Kedah dihasilkan Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-18 dan Ooi Hoe Guan pada minit ke-56. .

Di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan tidak bermaya untuk menandingi barisan pemain berpengalaman Pahang apabila tewas 4-1.

Kelantan mendahului pada minit ke-22 melalui jaringan Khairul Zal Azmie tetapi Pahang membalas empat gol menerusi Helton Pereira (minit ke-28), Mohd. Hairuddin Omar (minit ke-60), Mohd. Fadzli Saari (minit ke-70) dan Juzaili Sameon (minit ke-79) untuk skuad ``Tok Gajah'' menang bergaya 4-1 di gelanggang lawan.

Sarawak pula gagal mengambil kesempatan di gelanggang sendiri untuk mengutip mata penuh apabila seri 3-3 dengan Sabah di Stadium Sarawak, Kuching.

Pasukan tuan rumah memperoleh jaringan menerusi Ramos Sari (minit ke-7), Robert Ishun (minit ke-28) dan Ramos Sari (minit ke-28).

Sabah pula memperoleh gol menerusi Zainizam Marjan (minit ke-46) dan K. Sanbagamaran (minit ke-71 dan 90).
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cc4sHBUS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan