ARKIB : 01/06/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
BARISAN pemain dan pegawai skuad
Negeri Sembilan meraikan kejayaan meraih Piala FA 2003 selepas menewaskan
Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.
JARINGAN emas pemain import dari
Brazil, Everson Martinelli pada minit ke-95 dalam aksi sudden-death memastikan
Negeri Sembilan mencatat sejarah apabila menjulang Piala FA 2003 buat pertama
kali selepas menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir yang sengit di
Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.
Bagaimanapun, sebelum itu, Negeri
Sembilan terpaksa bekerja keras dalam 90 minit permainan untuk menyamakan
kedudukan selepas Perlis mengejutkan pasukan berkenaan dengan mendahului 1-0
pada minit ke-11.
Lim Chang Yew menyelamatkan
Negeri Sembilan selepas menghasilkan gol penyamaan Effendi Malik pada minit
ke-56 untuk mengheret permainan ke penentuan sudden-death yang menyaksikan
skuad Rusa itu cuma mengambil masa lima minit bagi menamatkan aksi dengan
kemenangan penuh bergaya daripada Martinelli, hasil gerakan cantik K. Rajan.
Rajan membuat larian cantik di
bahagian sayap sebelum melakukan hantaran cantik ke depan pintu gol untuk
Martinelli yang dalam keadaan terbaring masih mampu menyepak ke dalam gawang
Singa Utara.
Ini merupakan trofi pertama yang
berjaya diraih Negeri Sembilan dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.
Kejayaan menjulang Piala FA
memastikannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000. Skuad Hoben Jang
Hoben hampir menjulang Piala Malaysia pada tahun 2000 tetapi tumpas kepada
Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.
Sementara bagi jurulatih Negeri
Sembilan, K. Devan, ini merupakan kejayaan keduanya setelah membawa skuad
remaja Negeri Sembilan muncul juara Piala Presiden tahun lepas.
Bermula perlahan, Negeri Sembilan
bangkit pada akhir babak pertama untuk mengimbangi serangan lawan yang
kelihatan begitu garang sebaik sahaja sepak mula.
Perlis pula menerkam garang sejak
awal babak untuk menguasai pertarungan dan menjadikan permainan babak pertama
berat sebelah.
Kepantasan dan pengalaman
pengantin baru, Tengku Hazman Raja Hassan serta Rosle Md. Derus menjadikan
pergerakan skuad bimbingan Norizan Bakar begitu lancar menghalakan serangan ke
kubu skuad Rusa.
Pemain import dari Zambia, Chipeta
sentiasa sahaja merobek kubu pertahanan Rusa, yang diterajui oleh pemain
kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah.
Pada minit kelapan, Chipeta
memerangkap pertahanan lawan hanya untuk menyaksikan hantaran lambungnya
disia-siakan oleh pemain berpengalaman, Anuar Jusoh dengan sepakan tingginya.
Tetapi, empat minit kemudian
Chipeta mendapat peluang yang baik dan menerpa untuk menolak masuk gol
pembukaan. Jaringan berpunca daripada sepakan percuma Rosle Md. Derus yang
ditampan oleh Azlisham Ibrahim tetapi bola terkena tiang dan memerlukan kuisan
perlahan Chipeta untuk gol pertama.
Asakan yang dilakukan oleh Perlis
jelas menyukarkan anak-anak buah Devan untuk menemui rentak. Hanya ketika
permainan babak pertama berbaki 10 minit barulah mereka perlahan-lahan membina
gerakan lebih kemas.
Wakil Perdana Dua itu makin
ghairah selepas perlawanan disambung, menjadikan perlawanan mula seimbang dan
berubah menjadi rancak.
Selepas beberapa kali memerangkap
barisan pertahanan Perlis, Effendi Malek tidak mampu untuk melepaskan peluang
terbuka pada minit ke-56 dengan tolakan mudah menewaskan penjaga gol Perlis,
Amran Omar setelah menerima hantaran Luciano Osmar Gonzales.
Permainan tiba-tiba berubah,
dikuasai oleh Negeri Sembilan yang beberapa kali menyaksikan percubaan pemain-pemainnya
tersasar manakala Perlis seperti patah taring untuk merobek lawan.
Ketika permainan tinggal lapan
minit, Azman Adnan yang masuk menggantikan Mohd. Aiman Wong seperti kehilangan
idea apabila lambat bertindak untuk melepasi pertahanan lawan setelah menerima
hantaran Syaiful Sabtu.
Pada minit ketiga masa tambahan
sudden death, Chipeta nyaris memberikan kemenangan kepada pasukannya tetapi
sepakannya dari sebelah kanan gol terkena palang dan melantun keluar selepas
menerima hantaran jauh ketua pasukan, Muhammad Khaironisam Sahabuddin.
Rupanya, kemenangan ingin
menyebelahi Negeri Sembilan apabila pemain dari Brazil, Martinelli menyepak
masuk gol kemenangan dalam keadaan dirinya terbaring di atas padang setelah
peluang dibuka oleh pemain kebangsaan, Rajan pada minit kelima masa tambahan.
Hadiah kemenangan disampaikan
oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxlQBFAT©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan