ARKIB : 16/01/2001
Pemain yang gagal mempamerkan
aksi yang memuaskan dalam perlawanan persahabatan tersebut akan diketepikan
termasuk di kalangan pemain-pemain berpengalaman yang telah menyatakan
kesediaan menyarung jersi Perlis musim ini.
Pengurusnya, Dr. Ashaari
Mohamad berkata, Perlis hanya akan menyenaraikan pemain-pemain yang terbaik dan
menunjukkan komitmen yang tinggi sahaja akan diberi peluang mengisi barisan
utama pasukan itu.
Katanya, langkah tersebut
diambil untuk memastikan Perlis mampu meraih kejayaan yang cemerlang pada musim
ini.
"Pemain-pemain perlu
menunjukkan prestasi yang tinggi serta kesungguhan dalam setiap perlawanan
persahabatan itu sebelum layak disenaraikan dalam pasukan Singa Utara,''
katanya di Kangar semalam.
Perlawanan persahabatan yang
telah ditetapkan ialah menentang pasukan Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang di
Stadium Utama Kangar pada 20 Januari ini.
Sementara itu perlawanan
persahabatan lain yang dirancang ialah perlawanan dengan pasukan JKR Kedah yang
menjuarai Piala FAM tahun lalu dan pasukan Liga Perdana Kedah serta menyertai
kejohanan empat penjuru sekiranya dijemput oleh Persatuan Bola Sepak Pulau
Pinang.
Pada masa ini
sekurang-kurangnya lima pemain berpengalaman dan 13 bekas pemain musim lalu
turun menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih, Tajudin Nor sejak
seminggu lalu.
Turut mengikuti latihan itu
ialah empat pemain muda tempatan dari pasukan Liga Simpanan.
Pemain berpengalaman yang
sebelum ini mengesahkan kesediaan beraksi bersama Perlis pada musim ini iaitu
pemain tengah kebangsaan, Anuar Jusoh, penyerang kebangsaan, Che Zambil Ahmad
dan bekas pemain pertahanan skuad Olimpik lalu, Mohd. Sofi Mat Isa.
Pemain lain ialah bekas pemain
Terengganu, Badrul Afzan Razali dan Mohd. Zulfakri Ashaari.
Dr. Ashaari percaya Tajudin
yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan mampu memilih
pemain-pemain yang terbaik untuk memberi cabaran dalam saingan Liga Perdana
nanti.
Pada masa yang sama, katanya,
jurulatih itu juga diharap dapat membentuk sebuah pasukan yang terkuat untuk
memastikan Perlis mampu mencipta sejarah kegemilangan pada musim ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4bLdshj22
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan