ARKIB : 29/05/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
PERLIS membuat rombakan mengejut
pada perlawanan akhir bola sepak Piala FA menentang Negeri Sembilan Sabtu ini
apabila memasukkan awang import dari Sierra Leone, Lamime Conte Jr.
menggantikan Kelvin Musungu yang tidak dapat bermain kerana mengalami kecederaan
lutut yang serius.
Pengurus pasukan Singa Utara,
Adzmi Saad berkata, kemasukan pemain berusia 27 tahun yang akan digandingkan
dengan seorang lagi pemain Zambia, Phillemon Chipieta, diharap dapat menguatkan
jentera serangan Perlis berikutan ketiadaan Musungu.
Katanya, bekas pemain kebangsaan
Sierra Leone dan kelab Emiriah Arab Bersatu, Al-Wahda itu telah pun menerima
Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan melepasi ujian kecergasan yang
diadakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
``Perlis terpaksa merehatkan
sementara Musungu yang masih cedera dan dia akan digantikan dengan Conte Jr.,''
katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Kemasukan pemain baru itu
katanya, tidak mendatangkan masalah kerana Perlis telah menarik pendaftaran
Musungu sebagai pemain skuad itu daripada rekod FAM yang secara tidak langsung
membolehkan Conte Jr. melengkapi dua kuota pemain import yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak
bermakna Musungu digugurkan dari skuad Singa Utara kerana ia masih pemain
Perlis berdasarkan kontrak.
Musungu, 19, setakat ini telah
menjaringkan empat gol untuk pasukannya termasuk dua gol ketika seri menentang
Sarawak 2-2 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Utama Kangar, 26 April lalu.
Pemain muda itu sejak
kebelakangan ini sering dijadikan sandaran Perlis berikutan rakannya, Chipieta
yang dikawal ketat dalam setiap perlawanan.
Menurut Adzmi, keputusan untuk
memasukkan Conte Jr. itu terpaksa dibuat kerana perlawanan Sabtu ini penting
kepada kedua-dua pasukan yang pertama kali layak ke akhir Piala FA sejak
dipertandingkan tahun 1990.
``Kecederaan lutut kanan yang
dialaminya (Musungu) akibat perlanggaran ketika latihan tidak lama dulu
menyebabkan mutu persembahan yang mampu diberikan oleh pemain itu hanya antara
70 hingga 80 peratus.
``Bagi Perlis, dia perlu
direhatkan sementara bagi membolehkan beraksi 100 peratus dan untuk perlawanan
akhir ini kita terpaksa gunakan khidmat pemain lain sebagai ganti,'' jelasnya.
Sambil menghormati pasukan Negeri
Sembilan yang dibarisi ramai pemain kebangsaan dan skuad Olimpik, Adzmi
berkata, semua pemain diarah supaya tidak memandang rendah kemampuan skuad Rusa
dan bermain bermati-matian pada perlawanan itu nanti.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cx52DaDy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan