ARKIB : 30/05/2003
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
PERLAWANAN akhir bola sepak Piala
FA di antara Negeri Sembilan dan Perlis di Stadium Ipoh Perak, esok bakal
menyaksikan pertembungan di antara dua pasukan yang memiliki perwatakan
berbeza.
Pengalaman bakal menjadi sandaran
buat skuad Rusa, yang dibarisi oleh beberapa bekas pemain kebangsaan yang sudah
lali dengan tekanan beraksi dalam perlawanan akhir.
Azman Adnan, Aiman Wong, B.
Rajinikandh, Azlisham Ibrahim, Anuar Jusoh dan Azrul Amri Borhan adalah
sebahagian daripada pemain dalam pasukan Negeri Sembilan yang pernah digelar
`Real Madrid' Liga Malaysia oleh sebuah akhbar tempatan.
Lawan mereka dari utara tanah
air, Perlis dianggap sebagai barisan `adik-adik' kerana ditunjangi
pemain-pemain muda yang bagaimanapun tidak boleh dipandang mudah.
Berbekalkan semangat dan
ketahanan fizikal, skuad bimbingan Norizan Bakar itu merupakan salah satu
pencabar utama dalam Perdana Satu ketika ini.
Dengan jentera tengah digerakkan
oleh Tengku Hazman Raja Hassan yang akan membekalkan hantaran kepada penyerang
import Phillemon Chipieta, Singa Utara itu mampu membaham si Rusa dalam
perlawanan esok.
Bagaimanapun rata-rata jurulatih
dan pengurus dalam Liga Malaysia ketika dihubungi menganggap perlawanan itu
agak seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai kemampuan untuk bergelar
juara.
Jurulatih Sabah, Justin Ganai
berkata, kedua-dua pasukan mempunyai peluang setara dan tidak banyak yang
membezakan kedua-duanya.
``Apa pun, saya fikir Negeri
Sembilan mempunyai sedikit kelebihan dan mereka mungkin menang dengan jaringan
tipis,'' kata Justin.
Jurulatih kebangsaan bagi skuad
bawah 21, K. Rajagopal turut mempunyai tanggapan yang serupa.
``Peluang kedua-dua pasukan
adalah 50-50. Sukar untuk meramalkan pasukan mana yang akan muncul juara kerana
kedua-duanya akan bermain bermati-matian.
``Tetapi, saya percaya Negeri
Sembilan mempunyai kelebihan dari segi pengalaman,'' katanya.
Mat Zan Mat Aris, jurulatih
pasukan Telekom Melaka berkata, setiap pasukan yang layak ke perlawanan akhir
mempunyai kemampuan tersendiri dan meramalkan perlawanan sengit malam esok.
``Susah untuk membuat ramalan
kerana kedua-duanya ada kelebihan,'' katanya.
Pengurus pasukan Kuala Lumpur,
Datuk Hilmi Ismail pula berkata, skuad Singa Utara mempunyai peluang lebih
cerah berdasarkan persembahan konsisten dalam saingan Perdana Satu.
``Perlis bermain bermain dalam
Perdana Satu dan pernah berdepan dengan pasukan yang lebih kuat. Saya
meramalkan mereka mungkin menang dengan jaringan 2-1,'' katanya.
Jurulatih Sarawak, Jalil Ramli
pula bersifat terbuka dan menganggap pasukan yang kurang membuat kesilapan akan
muncul juara.
``Dalam perlawanan akhir pasukan
yang dapat menyesuaikan diri lebih awal dengan permainan dan kurang melakukan
kesilapan akan bergelar juara.
``Saya memilih Perlis untuk
menang dengan jaringan 1-0,'' katanya.
Pengurus Majlis Perbandaran
Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, Redzuan Sintol berkata: ``Negeri Sembilan
mempunyai ramai pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir berbanding
pasukan muda Perlis. Saya menjangkakan Negeri Sembilan akan menang dengan
jaringan 3-1.''
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxKawDy1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan