ARKIB : 29/11/2004
BERAKSI dengan 10 pemain di tempat lawan dan seterusnya mencapai kemenangan adalah dianggap sebagai satu keajaiban yang dicipta oleh Perlis sebelum layak ke perlawanan akhir 4 Disember ini.
Mungkin keajaiban kedua bakal menjelma sekiranya Singa Utara yang julung kali ke perlawanan akhir berjaya menundukkan jiran atau `abangnya', Kedah Sabtu ini.
Begitulah harapan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang begitu optimis bahawa Perlis mampu menjulang Piala Malaysia pada musim ini.
Berbekalkan keyakinan itu, Shahidan berjanji bahawa ganjaran lumayan sedang menanti para pemain jika berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Indera Kayangan.
Menurut beliau, hadiah wang tunai dan percutian hebat sedang menunggu pemain jika harapan besar seluruh rakyat Perlis mampu ditunaikan.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah wang tunai dan destinasi percutian yang akan dinikmati oleh pemain jika matlamat itu dapat direalisasikan.
``Ini semua dalam perancangan kita tetapi apa yang penting ialah kemenangan dan membawa pulang Piala Malaysia ke Perlis,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan kursus haji di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Behor Pulai, Kangar semalam.
Pada perlawanan separuh akhir kedua di Kuantan malam semalam, Perlis mencipta sejarahnya tersendiri apabila menewaskan Pahang dengan agregat 3-2 meskipun kalah ditempat lawan 1-2.
Ayam tambatan Perlis, Philimon Chepita memastikan tempat di perlawanan akhir menerusi gol tunggalnya pada minit ke-90 sekali gus melenyapkan impian Pahang.
Shahidan memuji kesungguhan para pemain Perlis yang mampu mengawal permainan walaupun beraksi dalam keadaan kritikal apabila pemain pertahanan, Mohd. Feriza Ismail diarah keluar padang pada minit ke-54.
Semangat juang yang tinggi itu, kata beliau, perlu ditunjukkan sekali lagi pada pertemuan yang lebih penting pada 4 Disember ini.
``Para pemain tidak boleh terus leka dibuai kemenangan ini kerana ada misi yang lebih penting sedang menunggu di hadapan,'' tegasnya.
Beliau tidak mahu kekalahan 1-2 Perlis kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala FA tahun lalu berulang kembali pada musim ini.
Sebagai pasukan yang pernah menjulang Piala Malaysia, katanya, Kedah pasti tertekan apabila bertemu dengan Perlis yang tidak pernah melangkah ke perlawanan akhir.
Namun begitu, tambah beliau, peluang untuk menang adalah 50-50 berdasarkan rekod pertemuan termasuk perlawanan persahabatan antara dua pasukan itu sepanjang musim ini. Sambil berseloroh katanya: ``Abang (Kedah) pernah menjadi juara Piala Malaysia, bagi peluang pula kepada adik (Perlis) nak merasa.''
Tiada ulasan:
Catat Ulasan