Isnin, 1 Mei 2017

Bonus untuk pemain Perlis

ARKIB : 01/12/2004
MENTERI Besar Perlis, Shahidan Kassim (kanan) memberikan kata-kata semangat dan perangsang kepada para pemain Perlis ketika mengunjungi Stadium Utama Kangar untuk menyaksikan latihan mereka di Kangar, semalam. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.


PEMAIN Perlis bakal menerima `durian runtuh' berikutan kejayaan mereka mara ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2004 apabila dijanjikan bonus RM7,000 setiap seorang berikutan kemenangan 3-2 ke atas Pahang pada peringkat separuh akhir Sabtu lalu.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mengumumkan perkara itu berkata, imbuhan itu akan disampaikan kepada semua pemain dalam satu majlis makan malam hari ini bagi meraikan pasukan Singa Utara yang berjaya ke perlawanan akhir menentang Kedah, Sabtu ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) meminta semua pemain supaya memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan Sabtu ini dan bukannya disebabkan imbuhan tersebut.
``Kita minta para pemain menunjukkan komitmen mereka yang terbaik, dan bukannya mengharapkan ganjaran.
``Ganjaran yang akan kita berikan ini sudah menjadi amalan sebagai penaik semangat mereka dan dalam Islam juga perkara ini dibenarkan,'' katanya ketika ditemui sewaktu melawat sesi latihan para pemain di Stadium Utama Kangar, semalam.
Perlis mara ke perlawanan akhir buat pertama kali dalam sejarah selepas mengenepikan cabaran Pahang dan akan bertemu Kedah yang menewaskan Sabah dalam pertemuan antara dua negeri berjiran itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu depan.
Skuad bimbingan Norizan Bakar itu, sebelum ini turut dijanjikan ganjaran yang lumayan termasuk peluang melancong ke luar negara sekiranya mampu menjuarai piala berprestij itu musim ini.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya sedang menguruskan perkhidmatan kereta api dari Stesen Keretapi Arau untuk membawa penyokong-penyokong Perlis ke Bukit Jalil.
Setakat ini, katanya, 10 buah gerabak dijangka bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat ini dan pihaknya akan menambah 10 buah gerabak lagi sekiranya mendapat permintaan.
``Khidmat gerabak tambahan kereta api ini diadakan bagi membawa lebih ramai peminat bola sepak dari Perlis untuk pergi menyaksikan perlawanan akhir itu, dan pada masa yang sama kita juga sedang menguruskan bas-bas tambahan dari negara Thailand seperti yang diumumkan baru-baru ini,'' katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad ketika mengesahkan pemberian bonus itu memberitahu, semua pemain akan menerima bonus selain bayaran pelarasan gaji untuk bulan November, hari ini.
``Kita berharap pemberian insentif ini akan menaikkan semangat para pemain untuk berjuang habis-habisan dan memastikan kita tidak pulang dengan kecewa,'' katanya.
Pasukan Singa Utara baru-baru ini dibelenggu masalah pembayaran imbuhan apabila hampir kesemua pemain tidak menerima bayaran imbuhan kejayaan mereka meraih tempat ketiga Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, isu tersebut telah selesai termasuk kelewatan pembayaran gaji selama hampir dua bulan yang melibatkan bulan Jun dan Julai.
Adzmi yang juga Naib Presiden II PFA ketika ditanya mengenai masalah ini berkata, isu bayaran lewat itu tidak timbul lagi setelah kedua-dua pihak saling bertolak ansur bagi menyelesaikan perkara tersebut dan tumpuan kini hanya pada perlawanan akhir nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan