ARKIB : 13/09/2003
PERLIS memperkemaskan jentera
serangannya bagi menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak Public Bank dalam
perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Selayang,
malam ini.
Dengan mengekalkan penyerang
berbisa, Philimon Chipeta dan Lamin Conteh Jr. dan dibantu oleh Rosle Md. Derus
dan Tengku Hazman Raja Hassan, Perlis dijangka mampu meneruskan saingan dalam
misi melangkah ke separuh akhir.
Namun begitu, Singa Utara belum
mahu menarik nafas lega terutama apabila Public Bank beraksi di depan penyokong
sendiri.
Public Bank mampu membuatkan
Perlis berputih mata terutama ketika beraksi di hadapan penyokongnya sendiri
jika Singa Utara mengambil sikap mudah dalam pertemuan hidup mati itu nanti.
Peringatan itu diberikan oleh
Pengurus pasukan, Adzmi Saad kepada anak-anak buahnya supaya tidak dibuai mimpi
dengan bekal 2-0 yang diperoleh dalam pertemuan pertama di Kangar, Selasa lalu.
Beliau mengingatkan bahawa Juara
Perdana Satu, Perak pernah diaibkan selepas tewas 5-2 kepada Public Bank di
Stadium Selayang sebelum ini.
``Para pemain tidak boleh terlalu
yakin dengan bekal yang ada kerana rekod membuktikan Public Bank adalah pasukan
yang perlu disegani,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika dihubungi di Kangar,
semalam.
Adzmi berkata, kekuatan Public
Bank terserlah apabila Perlis terpaksa menunggu hingga minit-minit terakhir
perlawanan sebelum berjaya menembusi gawang lawan pada suku akhir pertama bola
sepak Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, Selasa lalu.
Pada perlawanan itu, Perlis
menundukkan Public Bank 2-0 menerusi Chipeta dan Conteh Jr. pada minit ke-87
dan 89.
Adzmi memuji anak-anak buahnya
yang terus berusaha tanpa kenal erti penat sehingga ke saat-saat akhir
pertarungan tersebut sebelum mencipta kemenangan.
``Kita mahu prestasi ini
dikekalkan di Selayang kerana selagi wisel penamat belum ditiupkan, selagi
itulah perjuangan belum selesai,'' tegasnya.
Menurutnya, Perlis akan
menurunkan kesebelasan utamanya pada pertemuan akan datang memandangkan kesemua
anak buahnya tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan atau hukuman gantung
permainan.
Beliau turut menasihatkan
anak-anak buahnya bermain tanpa sebarang tekanan supaya dapat memberi tumpuan
penuh kepada perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dYU2WvWB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan