Jumaat, 26 Mei 2017

Perlis lega walaupun seri



ARKIB : 07/03/2005

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

KANGAR - Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan oleh Perlis sewaktu menentang Telekom Melaka di gelanggang lawan kelmarin cukup menggembirakan skuad Singa Utara untuk kekal sebagai pendahulu pusingan pertama Liga Super 2005 dengan kelebihan satu mata di belakang dua pencabar terdekatnya, Pahang dan Pulau Pinang.

Biarpun berada pada kedudukan teratas liga, juara Piala Malaysia 2004 itu terus diingatkan agar jangan terlalu ghairah kerana masih ada dua pusingan yang bakal menanti untuk menentukan pasukan mana sebenarnya yang layak dinobatkan selaku juara musim kedua Liga Super selepas kejayaan Pahang musim lalu.

Ingatan ikhlas itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang walaupun gembira dengan kejayaan pasukannya setakat ini tetapi masih mengakui bahawa `perjuangan masih belum selesai'.

Menteri Besar Perlis itu berkata, Singa Utara beraksi dengan baik pada permulaan pusingan pertama musim ini dan tidak semestinya `langit selalunya cerah' buat pasukan itu untuk terus mengekalkan kedudukan mereka.

``Bagaimanapun, saya pasti jika para pemain mengekalkan persembahan mantap termasuk mengalahkan pasukan lawan yang kuat seperti Pahang dan Pulau Pinang di tempat lawan, saya yakin kita mampu terus berada di atas.

``Tahniah juga diucapkan kepada pemain-pemain Singa Utara musim ini yang menunjukkan aksi mereka yang secara keseluruhan boleh dikatakan sebagai memuaskan dengan hanya mencatatkan satu kekalahan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kangar, semalam.

Pusingan pertama Liga Super 2005 berakhir malam kelmarin dengan Perlis kekal di tangga teratas setelah mengutip 14 mata dan satu mata terakhir itu diperoleh ketika bertandang ke Stadium Hang Jebat, bertemu Telekom Melaka apabila seri 0-0.

Sepanjang pusingan ini, Perlis menewaskan empat pasukan iaitu MPPJ Selangor (3-2), Sabah (5-0), Pahang (1-0) dan Pulau Pinang (2-1), seri dengan Perak (2-2) dan Telekom (0-0) serta tewas kepada Public Bank 1-0.

Pusingan kedua liga yang akan bermula minggu depan menyaksikan Singa Utara terpaksa bertandang ke Ipoh untuk menentang Perak yang berjaya mengikat pencabar Perlis iaitu Pahang dengan keputusan seri tanpa jaringan di gelanggang sendiri, kelmarin.

Dalam aksi menentang Perak pada 12 Mac ini, Perlis masih kehilangan khidmat kapten mereka, Kaironnisam Shahabuddin Hussin yang digantung dua perlawanan kerana menerima kad merah sewaktu menentang Public Bank baru-baru ini.

Sementara itu, pengurus Perlis, Adzmi Saad berkata, laluan pusingan kedua dijangka lebih berliku kerana lawan yang bersaing dalam liga ini pasti sudah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan Perlis.

``Selain menghadapi pusingan yang lebih mencabar, persiapan pasukan mungkin sedikit terjejas kerana lima pemain Perlis terpilih menyertai pasukan kebangsaan iaitu Ivan Yusoff, Durahim Jamaluddin, Khairi Zainuddin, Zainuddin Ariffin dan Anis Faron.

``Bagaimanapun, kami terpaksa berkorban dan membenarkan pemain-pemain ini menyertai pasukan negara demi kemajuan bola sepak Malaysia dan atas semangat patriotik kita,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iBOpTDZT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan