Sabtu, 27 Mei 2017

Perlis kian sukar digugat



ARKIB : 13/03/2005

PEMAIN Pahang, Indra Putra Mahayuddin (kiri) mengejar bola yang cuba dicuri oleh pemain MPPJ dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya, malam tadi. Pahang menang 2-1.

KUALA LUMPUR - Zacharia Simukonda muncul hero apabila dua jaringannya membantu Perlis menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Kemenangan tersebut sudah cukup memperkukuhkan kedudukan Perlis selaku pendahlu Liga Super dengan memungut 17 mata, tiga mata di depan saingan terdekat Pahang dan Pulau Pinang yang turut menang.

Perak mengejutkan skuad Singa Utara dengan gol seawal minit kelapan menerusi Harizul Izwan Abdul Rani.

Bagaimanapun, Simukonda bertindak cemerlang menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat sebelum bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59.

Di Stadium Petaling Jaya pula, Pahang turut memperkukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga selepas menewaskan MPPJ 2-1.

Penyerang import Pahang, Bernard Tchoutang muncul hero apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit keenam dan ke-49 manakala gol sagu hati MPPJ dijaringkan oleh Ben Katanha pada minit ke-37.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Pulau Pinang mengukuhkan kedudukan di tangga kedua apabila membelasah Sabah 4-0.

Sabah nyata bukan tandingan buat Pulau Pinang yang menguasai sepenuhnya pentas saingan.

Gol-gol Pulau Pinang dijaringkan oleh Ito Dan (minit 21, 69), Mohd. Faizal Esahar (45) dan Kofe Marcio Bareto (48).

Sementara itu bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof muncul hero apabila menjaringkan gol pada minit ke88 untuk membantu Public Bank menewaskan Telekom Melaka 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Public Bank membuka tirai jaringan pada minit ke-30 sebelum Njoh Njoh menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-48.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iHwKTEgk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan