Rabu, 31 Mei 2017

Perlis selesa ke Kelantan

ARKIB : 17/06/2005
Oleh YUSRI SAHAT

KANGAR - Perlis diibaratkan sudah sebelah kaki untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas mencipta kemenangan besar 4-1 ke atas Kelantan, kelmarin.

Kemenangan itu memberikan bekalan selesa buat pendahulu Liga Super itu sebelum bertandang ke Kota Bharu, Kelantan Rabu ini untuk pertemuan kali kedua.

Bagi Kelantan pula, skuad Kijang itu memerlukan `sentuhan ajaib' untuk menundukkan penyandang Juara Piala Malaysia itu dalam pertemuan kali kedua nanti.

Pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya walaupun wujud sedikit kealpaan pada separuh masa pertama.

``Pada babak pertama kita melihat para pemain mengambil sikap mudah selepas mendahului 1-0 sebelum lawan menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa,'' katanya kepada Utusan Sukan ketika dihubungi, semalam.

Pada perlawanan kelmarin, gol Perlis dijaringkan oleh Yusri Che Lah pada minit ke-12 dan 68 diikuti dua lagi gol daripada Mohd. Lamin al-Hidayah dan Zacharia Simukonda pada minit ke-51 dan 80.

Gol tunggal Kelantan pula dihasilkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-40.

Adzmi mengingatkan kepada para pemainnya bahawa kemenangan besar yang dicipta pada malam itu bukan tiket untuk mengambil sikap sambil lewa apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu minggu depan.

Ini kerana suasana di Kota Bharu adalah berbeza apabila ribuan penyokong Kelantan akan memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

``Keputusan di luar dugaan boleh berlaku jika pemain terlalu selesa dengan kemenangan malam tadi (kelmarin),'' tegasnya.

Sementara itu, katanya, Perlis akan kehilangan pemain sayapnya, Mohd. Ivan Yusoff yang terpaksa direhatkan selama sebulan kerana mengalami kecederaan di lutut.

Bagaimanapun ketiadaan Mohd. Ivan tidak akan menyebabkan berlakunya kepincangan di bahagian tersebut apabila pemain menunjukkan keserasian pada pertemuan dengan Kelantan semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ieTSmCq0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan